Berita UtamaUtama

Ubah lagu Negaraku konon bagi tujuan pembelajaran tidak wajar

Guru, murid boleh bincang tanpa perlu nyanyikan ke bahasa lain

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 11 Rabiulakhir 1441H, Ahad – Pakar bahasa, Datuk Dr Awang Sariyan meluahkan rasa kesal terhadap tindakan segelintir pihak yang mengubah lagu Negaraku kepada versi bahasa lain, walaupun kononnya bagi tujuan pembelajaran dan pemahaman.

Bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka itu berkata, tidak wajar untuk mana-mana pihak menyanyikan lagu kebangsaan kepada versi lain kerana bahasa rasminya adalah bahasa Melayu.

“Jika untuk tujuan pemahaman dan penghayatan seni katanya, boleh dijelaskan dan dibincangkan oleh guru dengan murid dalam proses pengajaran dan pembelajaran tanpa menyanyikannya dalam bahasa lain,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Jumaat lalu, tular video berdurasi satu minit 22 saat memaparkan murid sekolah – dipercayai berlaku di sekolah vernakular Cina – menyanyikan lagu Negaraku yang diubah kepada bahasa Mandarin.

Difahamkan, video itu didakwa dirakam pada 26 September 2018 di sekolah di Seremban, Negeri Sembilan.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin berkata, penggunaan bahasa Mandarin ketika menyanyikan Negaraku semasa PdP itu bertujuan memberi kefahaman terhadap maksud, tujuan dan adab ketika menyanyikan lagu kebangsaan oleh rakyat negara ini.

“Ia tidak dilakukan ketika mana-mana acara rasmi di sekolah berkenaan,” katanya selepas kementerian menyiasat dan mendapatkan penjelasan mengenai rakaman klip video berkenaan.

Sementara itu, semalam, tular pula klip video lagu kebangsaan versi bahasa Arab yang dinyanyikan sekumpulan remaja di dalam kelas.

Lagu Kebangsaan dicipta pada tahun 1957 dan pemilihan lagu ini dibuat oleh bekas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah.

Lagu Negaraku diperdengarkan buat julung kalinya selepas detik 12 malam di ambang 31 Ogos 1957, di Padang Kelab Selangor.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close