Berita UtamaUtama

Pemilikan hartanah warga asing tidak terkawal rugikan rakyat

PH seperti mahu jual sebahagian tanah negara kepada orang luar

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 11 Rabiulakhir 1441H, Ahad – Keterbukaan kerajaan Pakatan Harapan (PH) membenarkan pemilikan hartanah negara kepada warga asing, khususnya dari China berkemungkinan menggugat kepentingan penduduk tempatan.

Penganalisis ekonomi, Prof Madya Dr Abu Sofian Yaacob berkata, pemilikan hartanah warga asing yang tidak terkawal akan merugikan rakyat, kerana akhirnya akan menyebabkan mereka sukar untuk membeli rumah sendiri.

Bimbang dengan laporan bahawa pembeli China menyumbang jualan hartanah sebanyak RM8.4 bilion pada tahun 2018, beliau berkata, situasi semasa memperlihatkan seolah-olah kerajaan PH ingin menjual sebahagian hartanah negara kepada orang luar, yang mungkin memberi kesan jangka panjang terhadap perancangan mereka.

“Pada dasarnya memang kita suka kalau ada pelabur asing datang membuat pelaburan di negara ini, sama ada dari segi syer atau perindustrian.

“Kita alu-alukan pelabur asing yang nak bina kilang, buka pejabat pengurusan di Malaysia, tetapi kena hadkan pemilikan hartanah sebab ia akan membawa kepada perkara yang kurang baik,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Menurut laporan portal ekonomi dan hartanah antarabangsa China, Juwai.com serta rangkaian agensi hartanah Malaysia, IQI Global, pembeli China menyumbang jualan hartanah sebanyak 12.2 peratus daripada jumlah nilai urus niaga sejak PH memerintah.

“Pada suku pertama 2019, Malaysia adalah negara kelima paling popular di dunia dari segi pertanyaan pembelian hartanah dari China,” kata Pengerusi Eksekutif Juwai.com, Georg Chmiel.

Laporan itu berkata, kira-kira RM4.3 bilion pembinaan bangunan kediaman baharu di Malaysia disasarkan kepada pelabur China dan warga asing.

Mengulas lanjut, Dr Abu Sofian berkata, pembinaan kediaman baharu yang menyasarkan warga asing akan mengakibatkan pemilikan hartanah seperti rumah bagi penduduk tempatan akan berkurangan, selain menaikkan harga pasaran hartanah sedia ada.

“Kemungkinan rakyat kita akan merempat sebab tidak dapat memiliki rumah kerana kebanyakan hartanah tidak mampu diberi akibat harga yang terlampau tinggi seperti penduduk di Hong Kong.

“Jadi, mesti ada satu blueprint (atau pelan) yang menyeluruh supaya pembelian hartanah oleh warga asing dapat dibendung dan dikawal. Kepentingan rakyat tempatan perlu diberi keutamaan. Janganlah nanti akhirnya ibarat beruk di hutan disusukan, tetapi anak di rumah mati kelaparan.

“Kerajaan perlu ubah satu polisi pemilikan hartanah oleh warga asing yang standard supaya pengawalan boleh dibuat oleh satu agensi sahaja,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close