Berita UtamaUtama

Muafakat Nasional boleh menang PRU-15 jika bersatu

Letak Islam asas utama, UMNO sedia berubah: Penganalisis

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 11 Rabiulakhir 1441H, Ahad – Muafakat Nasional boleh memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) sekiranya wujud penyatuan antara UMNO dan PAS serta parti komponen Barisan Nasional (BN), kata penganalisis politik Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Syed Alsagoff.

Beliau yakin, sekiranya parti komponen BN serta Muafakat Nasional ikhlas memperjuangkan agenda nasional, mereka mampu memberikan persaingan sengit kepada Pakatan Harapan (PH) sekali gus mengambil alih kerajaan.

“Kita dapati MCA mempunyai pendirian mengenai Muafakat Nasional dan ragu-ragu berkaitan dengan peranan PAS.

“Jadi perkara begini perlu diselesaikan supaya ia dilihat sebagai satu lambang kekuatan barisan yang boleh dipercayai dan diyakini oleh pengundi di negara ini,” katanya ketika dihubungi Ismaweb, hari ini.

Sejarah tercipta pada 14 September lalu selepas dua parti Melayu tertua dan terbesar di Malaysia memeterai perjanjian yang dinamakan Piagam Muafakat Nasional.

Dalam piagam itu, kedua-dua parti bersetuju membentuk kerjasama dengan mengembangkan naratif Islam dan Melayu tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum serta kesejahteraan negara.

Dalam perkembangan lain, Syed Agil menyokong usul khas Pindaan Perlembagaan UMNO dalam Perhimpunan Agung UMNO 2019 yang telah diluluskan sebulat suara oleh para perwakilan dalam persidangan semalam.

Difahamkan 13 usul dinyatakan bagi meminda perlembagaan parti itu.

Antara pindaan dibuat membabitkan fasal 3 perlembagaan itu dengan meletakkan agama Islam di hadapan bagi asas dan tujuan dalam perjuangan parti Melayu berusia 73 tahun itu.

Pindaan itu selaras dengan kedudukan Islam sebagai agama persekutuan bagi negara ini.

Mengulas perkara itu, Syed Agil berkata, pindaan UMNO dalam perhimpunan kali ini yang membabitkan falsafah dan dasar khususnya mengenai agama Islam menunjukkan UMNO sudah bersedia untuk berubah.

“Selain itu, hal ini juga akan memberikan satu nafas baharu kepada penyatuan Muafakat Nasional,” kata beliau.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close