Berita PilihanDuniaUtama

Lelaki Islam Pakistan bangkit selamat kuil Hindu dari diserang

Demi jaga nama baik agama, masa depan kanak-kanak miskin

BUNYI hentaman pintu yang ditutup kuat bergerak selari dengan laungan kata-kata bantahan dalam kalangan penduduk

“Hapuskan India,” kata penunjuk perasaan yang melancarkan bantahan di hadapan sebuah sekolah milik kerajaan di sebuah bandar kecil dikenali sebagai Niaz Baig, Pakistan.

Kejadiaan berkenaan berlaku pada 7 Disember 1992 pada waktu pagi ketika musim sejuk.

Sehari sebelum itu, sebuah masjid yang dibina sejak abad ke-16 iaitu Masjid Babri di India musnah akibat tindakan penganut Hindu sehingga menyebabkan berlakunya rusuhan besar-besaran dan mengorbankan lebih 2,000 nyawa dengan kebanyakannya beragama Islam.

Berita insiden itu tersebar secara meluas sehingga menyebabkan rakyat Pakistan bangkit dan berang dengan kejadian itu.

Bahkan, kerajaan Pakistan turut mengambil keputusan mengisytihar 7 Disember sebagai cuti umum pada setiap tahun.

Tahukah anda mengapa penunjuk perasaan melancarkan bantahan di sekolah berkenaan susulan kejadian pembakaran Masjid Babri, ini kerana sekolah itu pada asalnya merupakan sebuah kuil yang kemudian diubah kepada sebuah masjid sebelum menjadi sekolah.

Dikenali sebagai Kuil Bhadra Kali Hindu Mandir, rumah ibadat berkenaan dibina pada abad ke-19 dan mula ditinggalkan selepas British mengambil keputusan untuk memisahkan Pakistan dari India pada tahun 1947.

Melalui keputusan berkenaan, penduduk Islam dipisahkan untuk menetap di Pakistan manakala penduduk beragama Hindu menetap di India.

Sejak ditinggalkan, kuil berkenaan kadang kala dijadikan sebagai kawasan melangsungkan kenduri perkahwinan dan selebihnya menjadi sarang penagih dadah melepaskan gian selain lokasi perjudian.

Tidak gembira dengan situasi itu, seorang bekas tentera dikenali sebagai Bashir Ahmad Meo mengambil tanggungjawab menjadikan kuil berkenaan sebagai masjid untuk manfaat penduduk setempat.

Keputusan Bashir itu turut didorong kepada keperluan untuk memperkuatkan komuniti Islam di Niaz Baig daripada menjadi lubuk kepada kumpulan mafia mendapatkan wang mudah.

“Anda tahu, seperti kebanyakan cerita yang berlaku ke atas kuil dan rumah ibadat, tanahnya menjadi sasaran mafia untuk mendapatkan wang dengan cara mudah,” kata Muhammad Mushtaq, anak kepada Bashir.

Pada sekitar tahun 1980an berlakunya banjir besar dan menenggelamkan sekolah berdekatan dan Bashir mendapat idea untuh menukar fungsi masjid berkenaan sebagai sekolah gantian.

“Mereka semua adalah anak-anak kita, dan kita bertanggungjawab untuk memberi mereka pelajaran walaupun hanya berteduhkan sebatang pokok,” kata Bashir.

Dalam berdepan bantahan 27 tahun lalu, Bashir yang pada ketika itu sudah pada usia lanjut mengangkat tangan dan memberi penerangan selama dua jam kepada penunjuk perasaan yang hadir bahawa tindakan membalas dendam tidak menguntungkan sesiapa.

Bashir juga berkata, tindakan berkenaan tidak disukai Nabi Muhammad SAW dan bakal menjejaskan masa depan pelajar di sekolah berkenaan yang rata-rata datang dari keluarga miskin.

Tindakan Bashir berjaya menyuraikan ramai penunjuk perasaan namun masih ada segelintir daripada mereka yang berkeras dengan bertindak membakar pintu sekolah dan merosakkan struktur bangunan. Akhirnya bangunan kuil yang bertukar menjadi sekolah itu berjaya diselamatkan.

Bashir meninggal dunia pada tahun 2018 ketika berusia 83 tahun dan legasi yang ditinggalkannya bakal dikenang sampai bila-bila. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close