Berita UtamaUtama

Komunis: Ada pihak mahu tulis semula sejarah Malaysia

Cuba ubah kebencian masyarakat terhadap kekejaman PKM

BANGI, 11 Rabiulakhir 1441H, Ahad – Fahaman komunis yang bertentangan dengan norma kelaziman masyarakat Malaysia tidak seharusnya diberi ruang di negara ini, kata Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.

Beliau menganggap ada golongan tertentu yang mahu menulis semula sejarah negara dan cuba mengubah kebencian masyarakat awam terhadap Parti Komunis Malaya (PKM), rentetan daripada beberapa insiden membabitkan kumpulan pengganas berkenaan sejak kebelakangan ini.

Kata beliau lagi, sekiranya pengganas komunis diberikan pengiktirafan, maka sia-sialah perjuangan pasukan keselamatan dahulu yang berkorban nyawa dan mengalami kecacatan kekal semata-mata mempertahankan kedaulatan negara.

“Kekejaman dan kezaliman PKM mahu dipadamkan daripada memori negara. Mereka mungkin mahu PKM berada dekat di hati rakyat Malaysia menjadi norma lazim yang tidak lagi ditakuti oleh rakyat Malaysia.

“Namun, sebenarnya rakyat Malaysia masih belum dapat melupakan kezaliman PKM. PKM membunuh kejam ramai rakyat Tanah Melayu ketika itu tanpa mengira bangsa sama ada Melayu, India atau Cina,” katanya.

Menulis di Sinar Harian hari ini, Zainul Rijal berkata, komunis bukanlah wira yang perlu dijulang, sebaliknya kumpulan berkenaan adalah pengkhianat negara dan mahu menjajah dengan menerapkan ideologi mereka.

“Jika dulu mereka berjaya menawan negara, sudah pasti negara kita tidaklah ditadbir berdasarkan sistem demokrasi yang berpaksikan Islam sebagai agama Persekutuan.

“Kita tidak pernah mendengar cerita kebaikan PKM dahulu, masakan suatu pertubuhan yang baik tidak didengari sebarang kebaikan mereka.

“Tanyalah orang tua-tua kita, adakah mereka mempunyai kenangan manis dengan PKM. Saya pasti jawapannya adalah negatif,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan dan pihak berwajib supaya mengambil tindakan segera bagi mengekang fahaman komunis yang dipelopori PKM itu dapat dihapuskan.

“Saya mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan tegas kepada siapa sahaja yang cuba menghidupkan kembali PKM ataupun fahaman komunis,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close