Berita UtamaUtama

Bayi tiga bulan dijangkiti polio

Pesakit stabil tapi masih perlu bantuan pernafasan di wad isolasi

BANGI, 11 Rabiulakhir 1441H, Ahad – Kementerian Kesihatan mengesahkan seorang bayi lelaki berusia tiga bulan dari Tuaran, Sabah disahkan dijangkiti virus polio setelah 27 tahun Malaysia bebas daripada penyakit tersebut.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bayi berkenaan disahkan dijangkiti vaccine-derived poliovirus type 1 (VDPV1) pada 6 Disember lalu.

“Hasil ujian pengesahan yang dijalankan oleh World Health Organization (WHO) Polio Regional Laboratory di Australia, virus tersebut mempunyai perkaitan genetik dengan virus polio yang dikesan pada kes Acute Flaccid Paralysis (AFP) di negara Filipina.

“Seterusnya, vaccine-derived poliovirus type 1 ini diklasifikasikan sebagai circulating vaccine-derived poliovirus type 1 (cVDPV 1),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata, pesakit kini masih dirawat di wad isolasi dan berada dalam keadaan stabil tetapi masih memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya, memandangkan pesakit masih memerlukan rawatan rapi, orang ramai dan pihak media dimohon untuk tidak mengganggu waris atau petugas kesihatan di hospital dalam menjalankan tugas memberi rawatan kepada pesakit tersebut.

Beliau berkata, sehingga 5 Disember lalu, hasil siasatan di kawasan tempat tinggal kanak-kanak yang dijangkiti polio di Sabah mendapati 23 daripada 199 orang atau 11.6 peratus yang berumur di antara dua bulan hingga 15 tahun tidak menerima vaksin polio.

“Ini satu keadaan yang sangat merunsingkan kerana penularan jangkitan cVPDV hanya boleh ditamatkan dengan imunisasi polio. Hasil penerangan mengenai kepentingan imunisasi polio bagi mencegah jangkitan polio, ibu bapa semua kanak-kanak tersebut telah bersetuju untuk mereka diberikan vaksin polio.

“Selain itu, aktiviti pencarian kes acute flaccid paralysis (AFP), proksi kepada poliomyelitis di kawasan tempat tinggal kanak-kanak itu juga telah dijalankan. Sehingga 5 Disember 2019, seramai 646 orang telah diperiksa, dan tiada orang bergejala AFP dikesan.

“Siasatan masih diteruskan di kawasan tersebut, termasuk pengambilan sampel najis dari kontak rapat kanak-kanak itu dan sampel persekitaran bagi pengesanan virus polio,” kata Noor Hisham.

Beliau bekata, bagi memastikan virus polio yang dikesan ini tidak terus menular di Malaysia dan menyebabkan poliomyelitis dalam kalangan mereka yang tiada imuniti terhadap jangkitan polio, aktiviti pemberian imunisasi polio akan diteruskan di kawasan tempat tinggal kes dan diperluaskan ke kawasan lain yang berisiko.

“Ia bagi memastikan liputan imunisasi polio yang tinggi, iaitu melebihi 95 peratus. Pendidikan kesihatan mengenai penyakit polio dan langkah pencegahan juga telah diberikan, termasuk penggunaan tandas yang sanitari dan penjagaan kebersihan diri termasuk tangan.

“Perlu diingatkan bahawa penyakit polio, seperti banyak penyakit yang lain, ditularkan melalui ‘fecal oral route’.

“Penduduk juga dinasihatkan agar segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran sekiranya mempunyai gejala AFP atau memaklumkan pihak KKM sekiranya mengetahui terdapat kes sedemikian yang tidak mendapatkan rawatan,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close