Berita UtamaUtama

‘Patut dari dulu UMNO pinda Perlembagaan, letak Islam di depan’

Sudah lama UMNO 'lari' landasan Islam, lebih fokus kebendaan

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 10 Rabiulakhir 1441H, Sabtu – “Sepatutnya sudah lama UMNO melakukan pindaan Perlembagaan dengan meletakkan agama Islam di hadapan dalam perjuangan parti keramat Melayu itu,” kata penganalisis politik, Prof Dr Ahmad Atory Hussain. 

Semalam, UMNO bersetuju untuk meminda beberapa Fasal dalam Perlembagaan parti itu pada persidangan Perhimpunan Agung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Antara pindaan dibuat membabitkan Fasal 3 Perlembagaan iaitu dengan meletakkan agama Islam di hadapan bagi asas dan tujuan dalam perjuangan parti Melayu berusia 73 tahun itu.

Pindaan itu selaras dengan kedudukan Islam sebagai agama persekutuan bagi negara ini.

Menyambut baik pindaan parti terbesar orang Melayu itu, Prof Ahmad Atory berkata, tidak dapat dinafikan tindakan UMNO akan dapat mengembalikan semula kepercayaan orang Melayu terhadap mereka.

Pindaan ini juga akan meletakkan UMNO dan PAS dalam haluan yang sama iaitu memperjuangkan syiar Islam di negara ini, katanya.

“Sudah sekian lama UMNO lari daripada landasan Islam sebenar, terlalu fokus kepada kebendaan. Sampai nilai agama diketepikan. Bagus cara (pindaan) begitu. Supaya mengingatkan kembali UMNO bahawa nilai keagamaan itu perlu diutamakan, kemudian baru diikuti nilai-nilai yang lain.

“Pemimpin UMNO mestilah memperjuangkan Islam seperti mana yang telah dijanji dan dilaungkan. Kalau perkara ini berhasil, Muafakat Nasional pula menang, menjadi pilihan rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, mereka akan menguasai Persekutuan. 

“Di sinilah letaknya nanti pemimpin UMNO dan PAS bergabung,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, parti-parti yang bakal memerintah perlu serius memperjuang agenda Islam kerana ketika ini, masih banyak yang belum kukuh. 

“Perlaksanaan hukum-hukum Islam, menaik taraf Mahkamah Syariah, menaik taraf pembelajaran agama di sekolah-sekolah masih lagi belum mendapat pembelaan sewajarnya.

“Begitu juga tuntutan dari segi keadilan nafkah, ibu tunggal dan lain-lain. Itu lah yang kena bagi keadilan kepada umat Islam, dari hukum jenayah belum lagi setimpal. Dengan adanya Muafakat Nasional ni, kita harap ia dapat memperkukuhkan lagi agenda Islam di negara kita,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, kaum dan penganut agama lain selain Melayu dan Islam tidak perlu khuatir kerana Islam adalah sebuah agama inklusif.

“MCA, MIC tak perlu risau, Islam bukan menindas agama lain, bahkan Islam mengajak agama lain untuk bersama dengan Islam. Pindaan ini tidak akan memberi masalah terhadap kaum lain, cuma letak Islam di hadapan sahaja,” katanya.

Sebelum ini, Fasal 3 Perlembagaan UMNO berkenaan asas dan tujuan hanya menggariskan ‘UMNO adalah sebuah parti politik yang berjuang mendukung cita-cita Kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara’.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close