Berita Utama

Aktivis Bersih didakwa buat hantaran jelik berkait agama Islam

Sarajun Hoda Abdul Hassan mengaku tidak bersalah, minta dibicarakan

TAIPING, 24 Zulhijjah 1442H, Selasa – Seorang aktivis Bersih dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat hantaran jelik berkaitan agama Islam dalam media sosial pada April lepas.

Sarajun Hoda Abdul Hassan, 65, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman.

Mengikut pertuduhan, Sarajun Hoda didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran dengan menggunakan perkhidmatan komunikasi yang jelik sifatnya berkaitan agama Islam dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi Facebook dengan menggunakan nama profil Sarajun Hoda.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 26 April lepas antara pukul 9 pagi hingga 12.52 tengah hari yang telah dibaca pada 27 April lepas kira-kira pukul 9 pagi di No 15, Jalan Wawasan 8, Taman Wawasan Jaya di daerah Parit Buntar.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi setahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sariza Ismail manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Dr Gurdial Singh Nijar, Abraham Au dan Manjit Singh Saini.

Terdahulu, Sariza menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 ke atas tertuduh manakala pihak pembelaan merayu jaminan rendah atas alasan anak guamnya memberi kerjasama penuh dan tidak mungkin melarikan diri.

Siti Noraida kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin di samping syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Mahkamah kemudian menetapkan 7 Okt ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button