Berita UtamaUtama

Pandangan Jawi adalah tulisan agama sama sekali tidak betul

Jangan pandang remeh pada bahasa kebangsaan: Gapena

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 8 Rabiulakhir 1441H, Khamis – Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) menegaskan bahawa mempelajari tulisan jawi dan rumi dapat memberi nilai tambah kepada murid bukan Melayu dalam meningkatkan ilmu.

Ketua Satu Gapena, Datuk Zainal Abidin Borhan berkata, sepatutnya tiada isu murid bukan Melayu mempelajari jawi kerana ia merupakan tulisan orang Melayu.

“Apabila tulisan jawi dianggap sebagai tulisan agama, pandangan itu adalah tidak betul. Meskipun tulisan jawi Melayu terdiri daripada sumber yang sama iaitu tulisan Arab, tetapi kedua-duanya mempunyai perbezaan ketara,” katanya ketika dihubungi Ismaweb hari ini.

Terdahulu, Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan kumpulan pendidikan Cina lain membangkitkan kembali isu tulisan jawi apabila memaklumkan mahu menghantar memo kepada Kementerian Pendidikan untuk menuntut supaya lembaga sekolah dibenarkan membuat keputusan dalam isu pembelajarannya di sekolah rendah vernakular.

Presiden Dong Zong, Tan Tai Kim dilaporkan berkata, mereka tidak berpuas hati apabila lembaga sekolah tidak tersenarai sebagai pembuat keputusan dalam pengajaran jawi di sekolah vernakular tahun depan, walaupun sudah lima pertemuan diadakan dengan kementerian.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mengumumkan bahawa jemaah menteri memutuskan pengenalan tulisan khat ini akan dimuatkan sebanyak tiga muka surat sahaja dalam buku teks.

Katanya, jemaah menteri juga menetapkan supaya pengenalan tulisan khat dilaksana secara pilihan dengan guru diberikan kuasa untuk membuat keputusan mengenai kaedah pelaksanaannya di bilik darjah masing-masing.

Mengulas lanjut, Zainal Abidin menyifatkan, pandangan pihak tertentu bahawa tulisan jawi akan menyebabkan proses pengislaman seseorang adalah dangkal serta tidak melihat kepada kepentingan perpaduan.

“Ini pandangan tidak sepatutnya. Sebagai warganegara Malaysia, mereka perlu mempelajari bahasa Melayu, keperluan Perlembagaan, akta bahasa dan pendidikan.

“Janganlah sampai memandang remeh pada tulisan jawi yang juga tulisan kepada bahasa kebangsaan. Rasis namanya. Jika kita mahu menuntut keadilan, kesaksamaan serta perpaduan maka belajarlah,” kata beliau.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close