Berita UtamaUtama

LTTE: Permohonan ikat jamin dua tahanan didengar Rabu

Kedua-dua tertuduh dakwa tidak terima layanan baik di penjara

KUALA LUMPUR, 8 Rabiulakhir 1441H, Khamis – Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menetapkan 11 Disember untuk mendengar permohonan ikat jamin yang difailkan seorang pengusaha restoran dan pengutip besi buruk yang didakwa berkaitan kumpulan pengganas LTTE.

Hakim Azura Alwi menetapkan tarikh berkenaan selepas peguam S Selvam yang mewakili B Subramaniam, 57, memberitahu bahawa permohonan itu difailkan minggu lepas dan ia telah diserahkan untuk tindakan pihak pendakwaan semalam.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Low Qin Hui berkata beliau memerlukan masa untuk membalas permohonan peguam berkenaan kerana pihaknya menerima dokumen itu pada 4 petang semalam.

Peguam MV Yogesh yang mewakili A Kalaimughilan pula berkata, pihaknya baru hari ini memfailkan permohonan jaminan anak guamnya dan mahkamah menetapkan 11 Disember untuk mendengar permohonan ikat jamin kedua-dua tertuduh.

Hari ini ditetapkan untuk mahkamah memeriksa aduan Subramaniam dan Kalaimughilan, 28, yang mendakwa mereka tidak menerima layanan baik di penjara Sungai Buloh.

Subramaniam yang memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi mendakwa dia tidak didera secara fizikal namun dia didera secara mental.

Esok mahkamah akan mendengar aduan Kalaimughilan.

Pada 31 Oktober lepas, Subramaniam didakwa dengan pengetahuan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE dengan cara menggunakan aplikasi sosial Facebook atas nama “US SUBRA SUBRAMANIAM”.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Pegawai Penyiasat Bahagian E8 (M) Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman, di sini pada 5.30 petang 7 Oktober 2019.

Pertuduhan mengikut Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sepanjang hayat atau maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan bagi melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Kalaimughilan pula didakwa dengan pengetahuan telah mengedar item yang berkaitan dengan LTTE di Dewan Tan Sri Soma, Wisma Tun Sambanthan, Jalan Sultan Sulaiman, Kampung Attap, di sini, kira-kira 8 malam hingga 11.30 malam, 17 Mac 2014.

Pada 29 Oktober, dia dituduh di Mahkamah Sesyen Selayang di sini atas dua pertuduhan memiliki item berkaitan dengan kumpulan LTTE di sebuah rumah di Jalan Anggerik 5D, Bukit Sentosa, Rawang dan di dalam sebuah kereta di tempat sama, pada 9.30 pagi dan 12.35 petang, 10 Oktober lepas.

Semua pertuduhan terhadap Kalaimughilan dikemukakan mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda dan dilucutkan mana-mana item itu, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua tertuduh ditahan reman di Penjara Sungai Buloh mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan di bawah SOSMA juga mereka tidak dibenarkan diikat jamin sementara menunggu perbicaraan atau kes selesai.

Bagaimanapun mahkamah mempunyai budi bicara untuk membenarkan jaminan yang dimohon tertuduh sekiranya terdapat keadaan istimewa terhadap permohonan jaminan itu. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close