Berita UtamaUtama

Wujud naratif baru mahu dibawa, diubah: Aminuddin

Angkat komunis sebagai pejuang kemerdekaan, bukannya pengganas

BANGI, 8 Rabiulakhir 1441H, Khamis – Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Haji Aminuddin Yahaya tidak menolak kemungkinan bahawa sekarang ini ada naratif baru yang mahu dibawa dan diubah pada sejarah negara.

Beliau berpandangan sedemikian berdasarkan siri peristiwa yang berlaku baru-baru ini, yang seolah-olah mahu mengangkat komunis sebagai pejuang kemerdekaan, bukannya pengganas.

Haji Aminuddin berkata, sekiranya naratif itu berjaya diangkat, ini bermakna jasa askar-askar dan pasukan keselamatan yang berperang siang dan malam akan dilupakan.

“Ramai antara mereka yang terkorban, akhirnya menjadi sia-sia sahaja. Hakikat bahawa orang awam termasuk kanak-kanak diseksa dan dibunuh dengan kejam juga akan lenyap,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Isu mengenai komunis kembali menjadi polemik susulan kepulangan abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng dengan ada yang mempertahankan tindakan itu kerana menepati Perjanjian Damai Hatyai, di samping yang mengkritik kerana mengguris hati keluarga mangsa anggota polis, tentera dan orang awam yang menjadi korban keganasan komunis.

Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan abu mayat Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua, dibawa masuk ke Malaysia pada 16 September lalu dan ditabur ke laut berhampiran Lumut, Perak dan di hutan banjaran Titiwangsa tanpa sebarang tugu atau jirat.

Selain itu, beberapa media turut melaporkan lebih 300 individu, termasuk bekas ahli PKM mengadakan perjumpaan dalam satu majlis memperingati ulang tahun ke-30 Perjanjian Damai Hatyai di Kajang.

Difahamkan, perjumpaan itu bukan sahaja untuk mengingati sejarah komunis tetapi juga untuk membetulkan salah faham terhadap perjuangan mereka.

Mengulas lanjut, Haji Aminuddin berkata, sekiranya Chin Peng dinobatkan sebagai pejuang kemerdekaan, bermakna askar-askar dan pasukan keselamatan yang telah berjuang menentang komunis semuanya adalah petualang negara.

“Apakah ini satu bentuk kejahilan peringkat tertinggi yang akan merubah masa depan bangsa dan negara kita? Ini sebagai satu renungan buat kita semua agar kita terus bermuhasabah,” kata beliau.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close