Berita UtamaKomunitiUtama

200 kanak-kanak Borneo khatan tajaan BPMB

Yayasan Ikhlas anjur program Sunathon Borneo di Sabah, Sarawak

BANGI, 7 Rabiulakhir 1441H, Rabu – Yayasan Ikhlas, pertubuhan Peduli dan Prihatin berjaya melaksanakan program Sunathon Borneo di Sabah dan Sarawak serentak, baru-baru ini membabitkan 200 kanak-kanak.

Program Sunathon adalah tahun keempat penganjuran, namun buat kali pertama diadakan di Pulau Gaya Sabah dan Sibu Sarawak, dengan kerjasama Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik).

Pengerusi Yayasan Ikhlas, Datuk Mohd Rosli Ramli berkata, untuk tahun ini pihaknya mendapat tajaan daripada Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB).

Beliau berkata, program Sunathon borneo pada tahun sebelum ini lebih menumpukan kawasan yang tiada akses kesihatan, termasuk di kawasan pedalaman.

Bagaimanapun, tahun ini Sunathon Borneo memilih kawasan berdekatan bandar, cuma pemilihan peserta dipilih dan ditapis mengikut pendapatan keluarga di bawah RM1,000.


Program Sunathon Borneo di Sabah dijalankan di SMK Pulau Gaya, mengumpulkan kanak-kanak dari beberapa kampung iaitu kampung pulau Gaya, Kampung Gaya, Kampung Kasuapan serta Kampung Lok Urai.

Majlis dilaksanakan dengan kerjasama PIBG SMK Pulau Gaya dan Institut Pengajian Dakwah dan Islam Sabah (IPDAS). Manakala di Sarawak, majlis diadakan di Masjid An Nur, dengan kerjasama Adun Nangka dan EQUMED Sdn Bhd.

Selain program berkhatan, terdapat juga program pemeriksaan kesihatan kepada 800 penduduk, pemeriksaan gigi, program komuniti masyarakat, pemberian sumbangan kepada keluarga asnaf membabitkan 130 keluarga dan penyampaian Al Quran waqaf 100 unit.

Sementara itu, Pengurus Besar Yayasan Ikhlas, Ir Hj Kamaruddin Kassim berkata, program yang dianjurkan tahun ini sangat memberi manfaat kepada mereka yang datang daripada keluarga asnaf.

“Contohnya di Sarawak, pemilihan peserta dibuat dengan jemputan ke setiap sekolah bagi mendapatkan peserta-peserta yang berdaftar di bawah Tabung Kewangan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAMP).

“Jika di Sabah pula, pemilihan peserta adalah mereka yang berpendapatan di bawah RM1,000. Secara kasarnya, majoriti penduduk di Pulau Gaya, lokasi Sunathon di Sabah, memang berpendapatan sangat rendah,” katanya.

Manakala, Pengerusi I-Medik, Prof Azmi Mad Nor yang turut serta dalam program Sunathon Borneo di Sarawak berkata, program ini membantu masyarakat kawasan pedalaman, bagi mengelakkan mereka mengalami keradangan, penyakit berjangkit akibat kekotoran yang melekat di bawah kulit.

Dalam program ini, 200 kanak-kanak berjaya dikhatankan oleh 70 orang doktor, pembantu perubatan dan sukarelawan perubatan.

Yayasan Ikhlas bercadang untuk memfokuskan misi Projek Borneo yang mengutamakan Sabah dan Sarawak dari sudut pelbagai bantuan seperti Bantuan Sekolah, Bantuan Ramadhan, Ibadah Korban dan Misi Bantuan Perubatan di kawasan pedalaman.

Yayasan Ikhlas mempelawa sukarelawan dan rakan korporat bagi menjayakan Projek Borneo ini. Bagi yang berminat, boleh menghubungi Pejabat Yayasan Ikhlas di talian 03 8926 5954.

 

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close