Berita Utama

Rombak SUHAKAM kerana ‘pilih bulu’ perjuang isu hak asasi manusia

Lebih bersungguh iktiraf hak LGBT daripada isu penting negara

BANGI, 26 Jamadilawal 1443H, Jumaat – Perjuangan yang bercanggah dengan arus hak asasi manusia selaras Perlembagaan negara menjadi antara faktor keanggotaan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) wajar dirombak dan digantikan dengan tokoh yang lebih berkelayakan serta berwibawa.

Suruhanjaya itu bukan hanya dilihat gagal menjalankan tanggungjawab dengan adil, bahkan berlaku diskriminasi kerana sering ‘memilih bulu’ ketika mempertahankan kononnya hak asasi manusia.

Ini termasuk kes usahawan transgender, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman apabila SUHAKAM hanya bersungguh mempertahankan hak lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), namun mengabaikan nasib anak angkat individu itu.

Ketua Media Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Rashidi Haris berkata, arus sama juga dilihat dalam kes kumpulan demonstrasi ‘Baju Hitam’ yang dilihat lebih lantang disuarakan berbanding kes pembunuhan anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

“Baru-baru ini Malaysia dilantik menduduki Human Rights Council di United Nation (UN). Malaysia sudah boleh membentuk human rights yang betul di UN, bukannya yang pro-Barat sahaja.

“Oleh itu, SUHAKAM perlulah dianggotai oleh mereka benar-benar pakar dalam bidang masing-masing yang mempunyai nilai yang sama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, bukan hanya bersikap diskriminasi, anggota SUHAKAM juga melanggar akta suruhanjaya itu apabila mahu mengiktiraf LGBT – sedangkan akta menyatakan bahawa keanggotaan SUHAKAM mesti terdiri daripada lelaki dan perempuan.

“Tidak ada istilah gender ketiga atau non-binari seperti yang diperjuangkan oleh anggota yang ada pada hari ini.

“Akta SUHAKAM menetapkan keanggotaan mesti terdiri lelaki dan perempuan seperti berikut; Perkara 5(3) Anggota Suruhanjaya hendaklah dilantik daripada kalangan lelaki dan wanita daripada pelbagai latar belakang agama, politik dan kaum yang mempunyai pengetahuan atau pengalaman praktikal dalam perkara hak asasi manusia”, katanya.

Justeru, adalah janggal apabila anggota SUHAKAM yang dikatakan pakar boleh terlepas pandang akta itu atau sengaja tidak peka kerana bercanggah dengan agenda mereka atau terperangkap dalam budaya plutokrasi, kata Rashidi.

“Setelah terlanjur begitu jauh sehingga mencemar kedudukan intelektual yang disandang, bagi mengembalikan integriti mereka, maka ahli majlis SUHAKAM perlu dengan rela hati melepaskan jawatan agar nama baik badan ini yang telah tercemar tidak semakin parah.

“SUHAKAM sebagai badan statutori kerajaan perlu lebih serius membawa isu-isu besar dan agenda penting untuk negara daripada mengangkat isu LGBT sebagai agenda negara sedangkan Malaysia mempunyai ramai ahli akademik, peguam dan tokoh serta NGO yang berkelayakan dan berwibawa untuk membawa agenda baru yang lebih besar dan bernas di pentas antarabangsa,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button