Berita UtamaUtama

Ekspo tatu: Menteri Agama tolong ambil tindakan tegas

Peragaan separuh bogel tatu tak bermoral, langgar etika

BANGI, 6 Rabiulakhir 1441H, Selasa – PAS hari ini menggesa tindakan tegas diambil terhadap penganjur Ekspo Tatu Malaysia 2019, yang diadakan pada 29 November hingga 1 Disember 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad berkata, penganjuran ekspo itu nyata tidak bermoral dan melanggar etika susulan terdapat peragaan separuh bogel dalam acara mereka.

Bahkan katanya, ekspo itu juga jelas bercanggah dengan Rukun Negara kelima, iaitu ‘Kesopanan dan Kesusilaan’.

“Lebih kecewa, penganjuran seperti ini berjaya dilakukan tanpa pantauan ketat oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia sehingga dilihat meminggirkan sosial budaya ketimuran di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada perkembangan sama, PAS juga menggesa Menteri Agama, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa dan kementerian terbabit untuk mengambil tindakan tegas dan tidak bersikap lepas tangan dalam isu bekenaan.

Kamaruzaman berkata, menteri terbabit juga dituntut untuk memberi penjelasan kepada rakyat agar program seperti ini tidak berulang lagi.

“Festival yang diadakan ini secara tidak langsung membuka ruang kepada rakyat Malaysia yang majoritinya orang Islam untuk turut sama menyertai tanpa segan silu, walhal amalan bertatu ini dilarang sama sekali dalam agama Islam kerana ia bertujuan untuk mengubah ciptaan Allah,” katanya.

Semalam tular gambar-gambar lelaki dan wanita bertatu separuh bogel yang menyertai ekspo bertaraf antarabangsa itu.

Ekspo itu turut mendapat sokongan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) seperti yang tertera di layar belakang pentas.

Penganjuran ekspo terbabit menghimpunkan peserta dari 35 negara berbanding penganjuran pada tahun 2015, 2016 dan 2017 yang diadakan di Sabah sebelum ini.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close