Berita UtamaUtama

Tanah kekal Cina: Desakan DAP hanya tuntutan politik

Harus ambil kira perpaduan nasional sebagai teras ukuran

Oleh Fazleen Safina

BANGI, 5 Rabiulakhir 1441H, Isnin – Desakan parti tamak haloba, DAP supaya kerajaan negeri Perak menunaikan janji pemberian hak milik kekal tanah kampung baru bermula hujung tahun ini adalah tuntutan politik semata-mata.

Penganalisis politik Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Syed Alsagoff berkata, sebarang tuntutan politik yang dibuat di negara ini haruslah mengikut Perlembagaan Persekutuan ataupun ketetapan kerajaan negeri di bawah Kanun Tanah Negara.

“DAP perlu lebih berhati-hati apabila mahu menuntut janji-janji dalam manifesto itu, kerana manifesto Pakatan Harapan (PH) sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) ketika itu, lebih terdorong kepada sentimen untuk menarik undi dan tidak mengambil kira dari segi hasil bumi dan hal-hal berkaitan kewangan dengan lebih tepat.

“Itu yang telah dinyatakan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad bahawa bukan semua tuntutan-tuntutan dalam manifesto itu boleh dilaksanakan.

“Selain itu, tuntutan yang dibuat juga harus mengambil kira perpaduan nasional sabagai satu teras ukuran untuk menjamin kesejahteraan negara kita,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Terdahulu, Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming menuntut janji pemberian hak milik kekal tanah kampung baharu terhadap orang Cina.

Kor Ming turut meminta lima ahli EXCO kerajaan negeri Perak dari DAP supaya membantu Ahmad Faizal melaksanakan janji PRU-14.

Katanya, janji yang diumumkan pada PRU-14 bukan janji DAP, sebaliknya ia adalah janji PH yang perlu ditunaikan segera.

Mengulas mengenai perkara itu, Dr Syed Agil berkata, tuntutan politik yang dibuat oleh DAP haruslah mengambil kira keupayaan kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan untuk membina negara lebih maju.

“Jadi, segala permintaan itu haruslah mengikut undang-undang. Tetapi, sesuatu manifesto itu tidak semestinya dibuat berdasarkan landasan undang-undang.

“Ada juga permintaan yang luar biasa sifatnya, di mana ia dibuat hanya semata-mata untuk menarik undi dan kadang-kadang manifesto itu mengganggu dari segi ketetapan yang dibuat oleh kerajaan negeri atau kerajaan persekutuan,” katanya.

Justeru, beliau mencadangkan kerajaan Perak supaya menumpukan potensi pelaburan dan ekonomi di negeri itu, berbanding mementingkan kepada hal kependudukan.

“Yang kadang-kadang akan memberikan masalah kepada kerajaan negeri, contohnya apabila kerajaan negeri nak buat satu penempatan baru atau projek baru bagi menggantikan penempatan sedia ada.

“Hal-hal inilah yang akan memberi masalah kepada kerajaan negeri sama ada ia diperintah oleh PH atau kerajaan terdahulu,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close