Berita Utama

Tiada keperluan calon PAS isytihar harta seperti PKR

Harta tak sampai juta nak isytihar, kata Hadi Awang

BANGI, 16 Rabiulakhir 1444H, Jumaat – PAS menegaskan tiada keperluan untuk pemimpin parti itu mengisytiharkan harta masing-masing seperti yang dibuat oleh calon PKR menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, pemimpin-pemimpin parti itu juga tidak mempunyai harta yang banyak untuk diisytiharkan.

Bagaimanapun, penyandang kerusi Parlimen Marang itu tidak menghalang mana-mana pemimpinnya yang mahu mengisytiharkan harta masing-masing.

“Harta kita tak banyak… orang lain sebut juta-juta, kita ratus ribu… tak sampai juta, jadi tak perlu isytihar.

“Memang ada orang kita yang jutawan tetapi tak terbabit dengan politik… berniaga pun kena sekat macam-macam,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan ahli politik dari PKR yang telah mengisytiharkan harta mereka sebelum PRU15 dan dokumen tersebut boleh dilihat menerusi laman khas https://calonkeadilan.org/.

Semakan menerusi laman khas itu menampilkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengisytiharkan harta lebih RM11 juta manakala Pengerusi Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengisytiharkan harta bernilai RM1.4 juta.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, perkara berkenaan bukanlah isu besar, malah beliau tidak kisah sekiranya ia dijadikan modal politik untuk berkempen.

“Pihak lawan tak boleh buat apa kerana orang PAS didapati tiada salah laku, kita perintah Kelantan, Terengganu, Kedah, tiada seorang pun orang kita yang diheret ke mahkamah, dibicarakan.

“Tetapi dalam Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), PH pula bicara berhenti… yang BN sambung bicara.

“Bukan masa dua minggu ini nak isytihar harta, patutnya orang kena tahu bertahun-tahun tentang harta kita dan masyarakat setempat lebih tahu calon kita di kawasan masing-masing, (jadi) tiada guna kita nak bermuka-bermuka dengan orang,” katanya.

calonkeadilan.org (https://calonkeadilan.org/)
Calon Keadilan | Ini Calon Kita | Kita Boleh
Kenali calon-calon Parti Keadilan Rakyat untuk Pilihan Raya Umum ke-15. #KitaBoleh

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button