Berita Utama

COVID-19: 3,684 kes baharu hari ini

4 kes penyakit berjangkit dikesan dalam kalangan mangsa banjir

BANGI, 10 Jamadilakhir 1443H, Khamis – Malaysia merekodkan 3,684 kes baharu hari ini, dengan 3,363 daripadanya adalah jangkitan tempatan manakala 321 lagi kes import menjadikan keseluruhan setakat ini kepada 2,798,917 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata, sebanyak 3,292 kes sembuh turut dilaporkan setakat jam 12 tengah hari ini.

Beliau berkata, 192 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 91 kes lagi memerlukan bantuan pernafasan, selain 178 kluster aktif termasuk lapan kluster baharu.

Katanya, daripada 3,684 kes harian yang dilaporkan hari ini, 34 kes (0.9 peratus) adalah kategori 3, 4 dan 5 dan 3,650 kes (99.1 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.

Dalam kenyataan sama, Dr Noor Hisham berkata, sehingga jam 3 petang ini, tiada kes positif COVID-19 baharu direkodkan dalam kalangan mangsa banjir yang membabitkan tiga negeri iaitu Melaka, Johor dan Sarawak.

“Jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 di Pusat Perpindahan Sementara (PPS) – 15 kes dan tiada kes baharu hari ini.

“Jumlah kluster COVID-19 di PPS – satu kluster tiada pertambahan kluster baharu hari ini,” katanya.

Beliau memaklumkan sebanyak empat kes penyakit berjangkit yang dikesan dalam kalangan mangsa banjir membabitkan dua Jangkitan Saluran Pernafasan Akut (ARI) dan dua lagi penyakit kulit.

“KKM ingin menasihatkan orang ramai supaya memaklumkan status risiko COVID-19 kepada anggota penyelamat sekiranya disahkan positif COVID-19 atau dikenal pasti sebagai kontak rapat agar tindakan sewajarnya dapat diambil semasa proses pemindahan dan penyelamatan.

“Sentiasa patuh kepada SOP dan amalan norma baharu semasa proses pemindahan dan sepanjang tempoh berada di PPS,” katanya.

Beliau turut mengingatkan supaya mengelakkan berkumpul beramai-ramai dalam kalangan mangsa banjir ketika berada di PPS, selain memakai pelindung diri ketika operasi memindahkan mangsa banjir serta sewaktu melakukan proses-proses pembersihan pasca banjir.

“Pastikan kebersihan diri terjaga dengan segera membersihkan badan yang terkena air banjir dengan air bersih dan amalkan cuci tangan menggunakan pembasmi kuman atau sabun terutamanya apabila pergi ke tempat menjadi guna sama seperti tandas.

“Elakkan diri daripada bermain atau meredah air banjir dan sentiasa menjaga kebersihan kawasan PPS untuk mengelakkan daripada penyakit bawaan vektor,” katanya.

Dr Noor Hisham juga menasihatkan supaya elak daripada minum air dan makan makanan yang sudah tercemar, selain segera dapatkan rawatan di klinik dan hospital berhampiran sekiranya bergejala bagi individu berisiko tinggi seperti warga emas, wanita hamil, kanak-kanak dan mereka mempunyai komorbiditi.

“Petugas perubatan di semua fasiliti kesihatan perlu lebih berwaspada akan gejala-gejala penyakit yang sering dikaitkan dengan kejadian banjir seperti yang disebutkan, seterusnya melakukan pemeriksaan yang sepatutnya agar rawatan segera dapat diberikan.

“KKM akan sentiasa memantau dan menjalankan aktiviti kawalan dan pencegahan sebaik-baiknya agar penyakit berjangkit akibat bencana banjir terutamanya COVID-19 dapat dibendung,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button