Berita UtamaDunia

WhatsApp sekat akaun 17 wartawan Palestin

Segala maklumat, mesej, nombor dan gambar hilang

GAZA, 14 Syawal 1442H, Rabu – Aplikasi WhatsApp didakwa menyekat akaun wartawan Palestin bagi mengelakkan mereka berkomunikasi dengan sumber, editor dan dunia di luar Semenanjung Gaza. 

Menurut Associated Press, 17 wartawan di Gaza mengesahkan akaun WhatsApp mereka disekat – selepas gencatan senjata Jumaat lalu. 

Sekatan aplikasi berkenaan termasuk ketua wartawan Al Jazeera, Wael al-Dahdouh dan wartawan Hisham Zaqqout. 

Menjelang tengah hari Isnin, hanya empat wartawan – yang bekerja untuk Al Jazeera – mengesahkan akaun mereka telah dipulihkan.

12 daripada 17 wartawan yang dihubungi oleh AP mengakui mereka ada menyebarkan maklumat yang berkaitan dengan operasi ketenteraan Pejuang Hamas.

Al-Dahdouh memberitahu, aksesnya ke WhatsApp disekat sekitar subuh pada hari Jumaat sebelum dibuka semula pada hari Isnin.  

Zaqqout, rakan sekerja al-Dahdouh, menyifatkan sekatan itu ‘mengejutkan dan tidak berasas’ kerana mereka tidak melanggar dasar kandungan dan syarat penggunaan.

Zaqqout juga mengatakan, dia telah menerima banyak amaran daripada Facebook bahawa akaunnya mungkin di hapuskan atas dakwaan melanggar syarat penggunaan.

Akaun WhatsApp mereka disekat selama tiga hari sebelum diaktifkan kembali pada hari Isnin, setelah pengurusan saluran di Qatar berkomunikasi dengan pentadbiran WhatsApp di Amerika Syarikat.

“Saya kehilangan maklumat, gambar, nombor, mesej dan komunikasi,” kata al-Dahdouh. 

Dalam satu laporan terbaharu, 500 kes direkodkan membabitkan hak digital penduduk Palestin dicabul antara 6 Mei hingga 19 Mei.

“Kandungan dan akaun dipadamkan, dikurangkan atau dihadkan, tanda pagar (hashtag) disembunyikan, dan kandungan arkib dihapuskan,” menurut laporan itu.

Terdahulu, pejabat Al-Jazeera di Gaza yang juga menempatkan pejabat Associated Press musnah dalam serangan udara negara haram Israel. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button