Berita UtamaUtama

Bodoh jika ada usaha hidup kembali ideologi komunis

Peristiwa hitam, pertumpahan darah masih segar bugar dalam minda rakyat

BANGI, 5 Rabiulakhir 1441H, Isnin – Sebarang usaha untuk menghidupkan kembali fahaman komunisme di negara ini adalah satu tindakan yang bodoh, tegas Tan Sri Abdul Rahim Noor.

Bekas Ketua Polis Negara itu berkata, ideologi komunisme sememangnya sudah ditolak oleh manusia, apatah lagi rakyat negara ini yang pernah berdepan dengan peristiwa hitam semasa kehadiran Parti Komunis Malaya (PKM) berpuluh tahun dahulu.

Kebimbangan bahawa terdapat usaha menggerakkan kembali fahaman komunisme timbul selepas beberapa isu membabitkan fahaman pengganas itu muncul sejak akhir-akhir ini.

Terdahulu, terdapat cubaan menyebarkan ideologi komunis dalam buku komik dan seterusnya diikuti dengan tindakan membawa balik abu mayat ketua pengganas, Chin Peng pada 16 September lalu.

Semalam pula, dilaporkan bahawa 300 orang hadir dalam satu perjumpaan melibatkan bekas kumpulan pengganas PKM di Kajang.

Lebih menimbulkan persoalan apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek, Ronnie Liu dan veteran PKR, Syed Husin Ali hadir dalam perhimpunan berkenaan, seolah-olah memberi restu kepada perhimpunan berkenaan.

Mengulas perkara itu, Abdul Rahim berkata, beliau tidak mendapat maklumat berkenaan sebarang usaha untuk menubuhkan semula sebuah parti berbaur komunis di negara ini.

Beliau berkata, berkemungkinan mereka yang berkumpul hanya cuba untuk menubuhkan persatuan untuk menguruskan hal kebajikan ahlinya.

“Apa sekali pun, saya rasa, kalau tujuan mereka ada niat jahat, ada ura-ura menubuhkan balik, mereka bodoh.

“Kalau tujuan dia untuk tubuhkan balik pergerakan komunis, mereka tersilap. Kalau setakat berinteraksi, beramah mesra sambil mengingat tarikh 1 Disember sebagai ‘peace treaty’ yang ditandtangani oleh parti mereka, bagi saya, apa salahnya. I’m sure special branch tahu,” katanya dalam rancangan Cakap Serupa Bikin yang disiarkan di TV Pertiwi, malam ini.

Bagaimanapun, Abdul Rahim memberi amaran supaya tiada pihak bertindak menghidupkan kembali ideologi pengganas sedemikian, kerana ia sudah cukup meninggalkan kenangan yang amat pahit buat rakyat.

“Jangan cuba nak hidupkan balik ideologi komunis, apatah lagi cuba nak hidupkan parti berideologi komumis. Sebab kita menempuh pengalaman pahit semau-maunya. Perkara ini masih segar bugar dalam minda rakyat negara ini. 

“Segala pembunuhan, pertumpahan darah adalah sejarah yang cukup hitam. Jangan cuba hidupkan balik. Kalau cuba hidupkan balik secara senyap-senyap, apatah lagi secara terbuka, undang-undang yang kuat akan mereka hadapi,” tegasnya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close