Berita UtamaUtama

Bantah tulisan jawi ibarat ‘cacing naik mata’: Kok Seong

Alasan belajar tulisan jawi jejas jati diri murid Cina, India tak masuk akal

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 5 Rabiulakhir 1441H, Isnin – Rakyat berbilang kaum di Malaysia wajib mempelajari tulisan jawi kerana ia adalah penting dari segi sistem tulisan, kata Felo Utama Institut Kajian Etnik (Kita) Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Datuk Dr Teo Kok Seong.

Beliau berkata, meskipun Akta Bahasa Kebangsaan 1963 menyebut tulisan rumi merupakan tulisan rasmi dalam bahasa Melayu, tetapi pada waktu sama dijelaskan bahawa tulisan jawi tidak sesekali boleh dilarang daripada digunakan.

“Oleh itu jika ada pandangan berkata bahawa dalam bahasa Melayu hanya tulisan rumi sahaja penting kerana ia merupakan tulisan rasmi, maka ia tidak betul. Status tulisan jawi sama seperti rumi. Maka ada keperluan tulisan jawi wajib dipelajari oleh rakyat,” kata beliau ketika dihubungi Ismaweb hari ini.

Lantaran itu, Kok Seong menyifatkan pihak yang membantah penggunaan tulisan jawi dalam pendidikan menyalahi perundangan Akta Bahasa Kebangsaan 1963.

Bahkan kata beliau, alasan yang digunakan pihak tertentu bahawa pembelajaran tulisan jawi di sekolah vernakular boleh menjejaskan jati diri murid Cina dan India tidak masuk akal sama sekali.

“Melainkan memperlihatkan adanya perasaan antinasional iaitu perasaan menentang kepentingan negara yang sudah dipersetujui bersama-sama dalam Kontrak Sosial. Bantahan sekarang ini boleh diibaratkan sebagai ‘cacing naik mata’.

“Sebenarnya apa-apa kaitan dengan bahasa Melayu perlu diterima bukan pilih-pilih mengikut kehendak mereka. Sekarang nampak sangat mereka cuba menolak apa yang dipersetujui dalam Kontrak Sosial itu,” kata beliau tanpa menamakan mana-mana pihak.

Terdahulu, Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan kumpulan pendidikan Cina lain membangkitkan kembali isu tulisan jawi apabila memaklumkan mahu menghantar memo kepada Kementerian Pendidikan untuk menuntut supaya lembaga sekolah dibenarkan membuat keputusan dalam isu pembelajarannya di sekolah rendah vernakular.

Presiden Dong Zong, Tan Tai Kim dilaporkan berkata, mereka tidak berpuas hati apabila lembaga sekolah tidak tersenarai sebagai pembuat keputusan dalam pengajaran jawi di sekolah vernakular tahun depan, walaupun sudah lima pertemuan diadakan dengan kementerian.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close