Berita UtamaDuniaEropahUtama

Angka maut gempa Albania cecah 51 orang

Malapetaka paling teruk sejak 30 tahun lalu

TIRANA, 4 Rabiulawal 1441H, Ahad – Perdana Menteri Albania, Edi Rama mengumumkan operasi mencari dan menyelamat mangsa gempa bumi di negara itu telah berakhir, dengan angka kematian mencecah 51 orang dan tiada lagi mayat berada dalam runtuhan.

Dalam satu kenyataan semalam, Rama berkata, lebih daripada 1,465 bangunan di ibu negara, Tirana dan kira-kira 900 bangunan di Durres telah musnah dalam kejadian gempa bumi bermagnitud 6.4, Selasa lalu.

Katanya, sekurang-kurangnya 2,000 rakyat cedera akibat malapetaka berkenaan.

Kementerian Kesihatan semalam melaporkan, bahawa seorang wanita berusia 20 tahun meninggal dunia, selepas koma akibat ditimpa batu-bata ketika meninggalkan bangunan apartmentnya di ibu negara.

Di Durres, Rama dan Presiden, Ilir Meta bersama-sama ratusan rakyat menghadiri upacara pengebumian sembilan beranak yang maut akibat runtuhan sebuah villa empat tingkat, manakala seorang ahli keluarga yang terselamat dikejarkan ke hospital di Itali untuk rawatan lanjut.

Selain itu, media antarabangsa melaporkan, sekurang-kurangnya 4,000 penduduk kehilangan tempat tinggal dan 2,500 daripadanya menginap di hotel buat sementara waktu.

Malah, terdapat penduduk yang mengambil keputusan untuk berpindah ke negara jiran iaitu Kosovo dan kawasan timur Albania.

Sementara itu, Rama memberi jaminan bahawa rakyat yang kehilangan tempat tinggal akan diberi penempatan baru menjelang tahun 2020.

Kerajaan telah menubuhkan organisasi kewangan untuk memberi pampasan sebanyak A$1 juta dolar bagi setiap keluarga yang kehilangan ahlinya, pencen khas bagi golongan tua dan biasiswa bagi kanak-kanak.

Gempa bumi pada Selasa adalah yang kedua melanda negara itu dalam masa dua bulan.

Gempa bumi pertama yang bermagnitud 5.6 menggegarkan Albania pada 21 September lalu, telah memusnahkan kira-kira 500 buah rumah.

Kementerian Pertahanan berkata, gempa bumi ketika itu adalah paling kuat sejak kali terakhir negara itu dilanda malapetaka sama pada 30 tahun lalu. -Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close