Berita UtamaDuniaUtama

PM Iraq timbang letak jawatan

Gagal pulih ekonomi termasuk baiki keadaan politik, masalah rasuah

BAGHDAD, 3 Rabiulakhir 1441H, Sabtu – Perdana Menteri Iraq, Adel Abdul-Mahdi bercadang untuk meletak jawatan susulan gesaan ulama Syiah negara itu, yang menggesa penggubal undang-undang Iraq untuk ‘mempertimbangkan semula’ pilihan mereka demi masa depan Iraq.

“Sebagai tindak balas kepada panggilan ini, dan untuk memudahkannya secepat mungkin, saya akan mengemukakan kepada Parlimen permintaan (untuk menerima) peletakan jawatan saya dari kepimpinan kerajaan semasa,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Adel berkata, langkah itu akan membolehkan ahli Parlimen untuk turut sama mempertimbangkan semula pilihan mereka.

Sementara itu, Presiden Iraq mengatakan bahawa Adel bersedia meletak jawatan sebagai perdana menteri jika pengganti ditemui.

Bagaimanapun, kenyataan itu tidak menjelaskan masa perletakan jawatan secara rasmi.

Kenyataan Adel muncul tidak lama selepas Ayatollah Ali al-Sistani menyampaikan khutbah solat Jumaat di Karbala.

Al-Sistani berkata: “kerajaan nampaknya tidak dapat menangani peristiwa dua bulan yang lalu.”  

Justeru, Al-Sistani menyeru Parlimen untuk mempertimbangkan semula pilihannya, memandangkan keadaan tegang dalam negara.

Al-Sistani turut memberi amaran mengenai plot musuh yang berusaha mewujudkan perang saudara, membawa ‘era diktator’.

Hampir dua bulan protes telah menggegarkan terutamanya ibu kota Baghdad dan kawasan selatan Iraq.

Penunjuk perasaan telah menyatakan kekecewaan terhadap ekonomi yang gagal dan menuntut pembaharuan politik dan antikorupsi.

Bagaimanapun, perhimpunan itu berubah menjadi konfrontasi ganas dalam banyak kesempatan, dengan laporan yang mendakwa bahawa elemen-elemen tertentu yang disokong oleh pihak asing telah berusaha untuk mewujudkan malapetaka di negara ini.

Sejak 1 Oktober lalu, lebih daripada 300 orang terbunuh di negara ini, kata suruhanjaya hak asasi manusia Parlimen Iraq. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close