Berita UtamaIstimewaUtama

Awas! Negara sedang diubah mengikut naratif haluan kiri

Negara kini dikuasai golongan berhaluan kiri

AKHIR ini kita dikejutkan dengan pelbagai insiden yang menunjukkan terdapat aktiviti bawah tanah yang agresif dan cuba menonjolkan imej komunis termasuk yang terkini isu abu mayat Chin Peng dan bendera Malaysia bintang lima bucu.

Ia sebenarnya bukan kes terpencil tetapi telah pun berlaku secara tersusun dan terancang semenjak dahulu. Cuma selepas Pakatan Harapan (PH) memerintah ia menjadi lebih agresif.

Ramai yang tidak faham apakah fenomena ini sebenarnya? Adakah ia satu kejahilan, ketidaksengajaan atau kesilapan manusia yang sering berlaku?.

Akibat tidak tahu sejarah mereka gagal memahami isu ini dengan tepat dan jelas.

Mereka khususnya orang Melayu tidak tahu bahawa sebenarnya yang memerintah negara kita ini adalah dari golongan berhaluan kiri yang terdiri dari komunis, sosialis dan lainnya.

Setelah memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), golongan ini sedang giat melakukan usaha untuk merubah naratif sejarah negara daripada naratif anglo pro British kepada naratif komunis haluan kiri.

Sebenarnya selama pemerintahan Barisan Nasional (BN), negara Malaysia diolah mengikut naratif anglo pro penjajah British.

Antara dua naratif ini sering berlaku perdebatan siapakah yang sebenarnya pejuang kemerdekaan. Puak golongan kiri menganggap merekalah pejuang kemerdekaan negara yang sebenar bukan UMNO/BN yang dianggap anglo pro British.

Sebab itu, mereka anggap Mat Indera sebagai pejuang, mereka berjuang untuk bawa balik abu mayat Chin Peng, mereka angkat bendera negara berimej komunis dan sebagainya. Kerana mereka ingin menghidupkan naratif perjuangan mereka setelah mereka berkuasa.

Pada zaman awal kemerdekaan dulu, dua haluan ini, haluan kanan pro British dan haluan kiri pro komunis China berjuang menuntut kemerdekaan.

Haluan kanan memperjuangkan kemerdekaan dengan mengekalkan dasar-dasar British dan menjamin kepentingan penjajah, manakala golongan kiri ingin membawa Malaysia masuk dalam blok komunis China dan Russia.

Berdasarkan fakta sejarah, golongan komunis dan haluan kiri bukan sahaja akan mengangkat naratif tetapi juga terkandung dalam fahaman mereka bahawa Malaysia adalah sebahagian dari wilayah negara tanah besar China yang disebut sebagai wilayah ke-19.

Di tengah-tengah dua haluan ini ada haluan nasionalis Islam yang diwakili pada waktu itu oleh para alim ulama, golongan pondok dan diteruskan oleh Hizbul Muslimin yang diketuai oleh Dr Burhanudin al-Helmy dan kawan-kawannya.

Oleh itu, kita boleh faham bahawa isu-isu yang muncul hari ini bukanlah perkara baru. Golongan kiri yang berkuasa sekarang sedang berkerja keras untuk menghapuskan naratif rejim lama dengan naratif baru haluan kiri. Banyak perkara akan mereka lakukan.

Jangan terkejut lagi. Seperti mengubah fakta sejarah, menaikkan perjuangan komunis sebagai perjuangan kemerdekaan dan sebagainya dalam rangka memperkukuhkan naratif perjuangan haluan kiri.

Sudah banyak perubahan berlaku kepada penyokong parti-parti yang berlatarbelakangkan Cina dan India. Mereka telah dengan nyata menolak haluan anglo dan kini menyokong perjuangan dengan naratif baru haluan kiri.

Saya percaya perkara ini berlaku melangkaui batas kepartian. Jadi jangan tertipu dengan lambang-lambang parti, kononnya seolah-olah parti Fulan atau Ilan masih macam dulu. Jadi janganlah jadi bodoh dan tertipu dengan jenama-jenama parti.

Parti-parti ini hanyalah kenderaan yang pasti mereka mempunyai hala tuju yang jelas ke arah memeperkukuhkan naratif haluan kiri.

Apa yang boleh dilakukan secara rasmi menggunakan jawatan dalam kerajaan atau parti mereka akan lakukan dan jika ia tidak dilakukan secara rasmi atas nama parti, mereka lakukan secara pintu belakang. Itulah sebenarnya yang kita sedang lihat sekarang.

Pada zaman awal kemerdekaan dulu, golongan Islam bersama-sama golongan kiri menentang penjajahan British dan mahu negara merdeka dari pengaruh penjajahan sehingga mereka menerima tekanan yang sama dari pihak penjajah.

Sehinggalah Dr Burhanuddin sendiri pernah dianggap sebagai golongan kiri.

Sebenarnya terdapat perbezaan besar antara golongan Islamis dengan puak berhaluan kiri. Waktu mana golongan berhaluan kiri memperjuangkan kemerdekaan dari British untuk membawa Malaysia ke blok China-Russia, manakala golongan Islamis ingin menubuhkan negara Melaya Raya yang berteraskan Nasionalis Islam.

Sehingga hari ini, pendirian aliran Islam kelihatan tidak dapat “firm” dengan haluan sendiri, sebaliknya sentiasa beralih-alih sekali ke kanan dan sekali ke kiri mengikut perkembangan situasi politik semasa.

Amir Ikatan Muslimin Malaysia (Isma)
Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close