Berita UtamaIstimewaUtama

Hina Jalur Gemilang: Minta maaf, orang lain pula buat

Siapakah dalang, apa agenda sebenar yang mereka nak bawa?

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 29 Rabiulawal 1441H, Selasa – Perasaan rakyat sekali lagi diguris atas tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu apabila melakukan penghinaan terhadap Jalur Gemilang.

Kesinambungan penghinaan ke atas bendera Malaysia berlaku, apabila Jalur Gemilang dipaparkan dengan lima bintang ketika perasmian Kejohanan Bola Keranjang kali ke-28 di Kuala Lumpur semalam.

Pengerusi Ikatan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (iPeguam), Muhammad Luttfi Abdul Khalid berkata, paparan Jalur Gemilang dengan lima bintang ketika lagu Negaraku dimainkan adalah satu momokan kepada lagu kebangsaan itu.

“Ini bukan episod terpisah dan terpencil tetapi kesinambungan kes sebelum ini. Apa agenda besar di sebalik tindakan ini?

“Adakah agenda cauvinis dan rasis? Antikerajaan atau tidak patriotik? Apa agenda luar mereka nak bawa?,” katanya ketika dihubungi Ismaweb hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, kebiasaannya pihak yang melakukan penghinaan terhadap Jalur Gemilang seperti pemasangan terbalik dan menukar warna bendera Malaysia kepada jalur hitam akan meminta maaf atau mendakwa salah cetak.

“Mereka akan minta maaf, kemudian kita yang Melayu akan memaafkan. Jika bangkang kita pula dikatakan rasis. Sebenarnya siapa yang rasis? Kita bukan rasis, sebaliknya kita mahu mempertahankan unsur kedaulatan negara,” tegas Muhammad Luttfi.

Beliau turut mempersoalkan kesetiaan penghina Jalur Gemilang ini yang jelas menunjukkan ketidaksetiaan kepada negara.

“Siapakah dalang di sebalik isu ini atau mereka ini ‘produk’ vernakular? Buat gambar bendera terbalik dan sebagainya bukti mereka tidak cintakan negara,” kata beliau.

Terdahulu, tular di media sosial klip video yang memaparkan Jalur Gemilang dengan lima bintang bersama logo Westport ditayangkan ketika nyanyian lagu Negaraku.

Kesilapan memaparkan bendera Malaysia ketika perasmian Kejohanan Bola Keranjang kali ke-28 semalam mendapatkan kecaman hebat daripada netizen.

Rata-rata netizen menyifatkan, lima bintang yang tertera pada bendera itu seperti bendera komunis.

Seperti dijangka, Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) memohon maaf dan bertanggungjawab sepenuhnya berhubung kesilapan memaparkan bendera Malaysia dengan lima bintang ketika perasmian Kejohanan Bola Keranjang, semalam.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close