Berita UtamaKomunitiUtama

I-Medik terima anugerah Blue Ribbon KKM 2019

Akan terus jadi pemangkin didik rakyat dalam isu-isu kesihatan

Oleh Siti Fatimah Ishak

BANGI, 26 Rabiulawal 1441H, Sabtu – Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) menerima Anugerah Kempen Blue Ribbon 2019, oleh Kementerian Kesihatan di atas sumbangan dan kerjasama dalam kempen bebas asap rokok.

I-Medik diwakili Pengerusi I-Medik KL-Selangor, Dr Ahmad Farid Nazmi, menerima sijil penghargaan berserta trofi, yang disampaikan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad semalam, di Hotel Marriott Putrajaya.

Ini adalah kali kedua I-Medik menerima Anugerah Blue Ribbon bagi kategori NGO selari dengan pembabitan I-Medik dalam jawatankuasa bersama polisi bebas asap rokok.

Sebelum ini, I-Medik turut menganjurkan program-program kesedaran berhenti merokok seperti Fun Ride Say No To Tembakau and Vape bersama dengan MyHealth.

Unit Kesihatan Awam I-Medik, Dr Mohd Ihsanuddin Abas mengucapkan terima kasih kepada KKM dan MyHealth di atas penganugerahan ini.

Beliau yakin anugerah kepada I-Medik ini akan menjadi pemangkin untuk terus menjadi advokasi kerajaan dalam polisi kesihatan dan pada masa yang sama mendidik rakyat dalam isu-isu kesihatan.

Kempen Blue Ribbon bertujuan untuk memberikan sumbangan pengiktirafan dan penghormatan kepada individu serta organisasi yang telah memberi sumbangan besar dalam usaha untuk melindungi nyawa orang awam daripada bahaya asap rokok.

Anugerah dan Pengiktirafan Kempen Blue Ribbon terbahagi kepada tiga kategori iaitu Pensijilan Premis, Anugerah Media dan Anugerah Pencapaian Cemerlang.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close