Berita UtamaIr Muhammad Lukman Al HakimTarbiyyahUtama

Tarbiah di luar bilik darjah

Persis ujian dalam kehidupan, bukan ujian di sekolah

TARBIAH ertinya pengembangan. Pengembangan hanya akan berlaku jika syarat asas dipenuhi. Selain itu, pengembangan memerlukan suasana yang menggalakkan serta sistem sokongan yang membantu.

Ibarat benih pokok yang ditanam. Syarat asas bagi ia tumbuh ialah cahaya matahari, air dan gas karbon dioksida. Namun ia tidak mencukupi. Suasana yang menggalakkan serta sistem sokongan seperti cuaca, baja, sistem saliran dan pagar perlindungan amat penting bagi memastikan pengembangan biji benih.

Syarat asas atau rukun tarbiah ialah murobbi (guru), mutarabbi (anak murid), manhaj (sistem pembelajaran) serta biah (suasana). Namun, keempat-empat perkara ini tidak memadai bagi memastikan kejayaan tarbiah.

Apakah suasana dan sistem sokongan yang membantu melonjakkan prestasi tarbiah seseorang?

Berdasarkan pengalaman dan pemerhatian saya, aplikasi tarbiah di medan amal yang luas adalah pra-syarat penting yang merupakan sistem sokongan yang amat ampuh bagi tujuan ini. Ia adalah proses selari yang perlu berjalan sepanjang perjalanan tarbiah, bukan fasa akhir dalam susunan carta alir tarbiah formal.

Sebagaimana bezanya, ujian di sekolah dan di dalam kehidupan sebenar.

Di sekolah, kita belajar dahulu kemudian diuji. Sebaliknya, dalam realiti kehidupan sebenar, kita diuji terlebih dahulu barulah kita belajar (mengambil pengajaran dan muhasabah berdasarkan peristiwa)

Hakikatnya, tarbiah persis ujian dalam kehidupan, bukan ujian di sekolah.

Lantas, sesiapa yang bermentaliti tarbiah itu hanya di dalam bilik darjah (pertemuan usrah dan program tarbiah) semata-mata, maka dia silap.

Begitu juga sesiapa yang berfikiran, selepas majlis graduasi tarbiah (tamat silibus dan pemeringkatan dalam bilik darjah), barulah para pelajar bersedia untuk beramal di medan terbuka, maka dia juga silap.

Kerana sesungguhnya, tarbiah sebenar ialah tarbiah di luar bilik darjah!

Nabi s.a.w didatangi Malaikat Jibril berkali-kali, termasuk pengalaman cemas di Gua Hira’ sebelum mempelajari bahawa Baginda s.a.w adalah seorang Nabi.

Generasi umat Islam terawal di Mekah disiksa, diboikot dan dihalau dari kampung halaman sebelum mempelajari nilai aqidah dan kepentingan ukhuwwah.

Tentera Uhud terpaksa bermandi darah dan melihat syahid yang bergelimpangan sebelum mempelajari nilai sebuah ketaatan.

Allah s.w.t mengajar Nabi s.a.w dan umat Islam dengan memberikan peristiwa atau ayatNya terlebih dahulu?.

Ya, jawapannya ialah peristiwa atau ujian terlebih dahulu. Kemudian baru ayatNya atau wahyu datang menyusul. Sebagaimana ujian dalam kehidupan, bukan ujian di sekolah.

Method tarbiah yang melahirkan generasi Islam terbaik inilah yang perlu kita teladani hari ini.

Bukankah acapkali kita dengar ‘tarbiah bermula dengan tasbih kafarah dan berakhir dengan al-Fatihah’?

Lantas, kita seharusnya menyusun para mutarabbi untuk keluar berdakwah dan melakukan kafilah dari rumah ke rumah sebelum membedah buku ‘Jalan Dakwah’.

Kita seharusnya menyediakan pentas untuk mereka berpidato, menulis, mengurus dan memimpin sebelum memberikan latihan kemahiran insaniah (soft skills).

Kita seharusnya menolak mereka ke dalam air sebelum mengajarkan teori berenang dan menyelamatkan diri.

Kita seharusnya membawa mereka mencula undi, berkempen dan bersedia menjadi calon pilihanraya sebelum mengajarkan modul manhaj perubahan umat.

Mereka pasti akan lebih cepat berkembang. Sebagaimana petani belajar bercucuk tanam di bawah terik mentari, bukan di dalam bilik darjah yang jumud berdiri…..

Ir Hj Muhammad Lukman Al Hakim Muhammad
Kluster Tarbiah ISMA

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close