Berita UtamaPendapat

Banteras kebanjiran warga asing dalam sektor pekerjaan

Majikan perlu beri gaji,skim kebajikan tarik minat pekerja tempatan

1. MENGIKUT statistik kadar pengangguran negara meningkat kepada 5.3 peratus pada bulan Mei 2020 yang lalu. Ini bermakna sejumlah 826,000 orang di Malaysia tidak mempunyai pekerjaan.

2. Peningkatan daripada statistik pengangguran 5 peratus pada April 2020 ini amat merisaukan.
Cuma persoalan yang timbul adakah benar-benar peluang pekerjaan terhad atau rakyat Malaysia sebenarnya terlalu memilih kerja?

3. Tanpa menafikan kesan buruk daripada pandemik COVID-19 yang melanda dunia dan negara, hakikatnya masalah pengangguran ini telah lama dihadapi Malaysia.

Kebanjiran pekerja asing termasuk sebahagian dari mereka yang tidak memiliki dokumen yang sah adalah antara faktor penyumbang utama.

4. Statistik Jabatan Imigresen Malaysia menunjukkan jumlah pekerja asing aktif terkini adalah sebanyak 2.3 juta orang merangkumi 14.74 peratus daripada jumlah keseluruhan 15.6 juta tenaga buruh di Malaysia (data 2019).

5. Jabatan Perangkaan Malaysia pula menganggarkan jumlah warga asing yang tinggal secara sah di negara ini ialah sekitar 3.3 juta orang daripada keseluruhan 32 juta penduduk di Malaysia (lebih 10 peratus). Itu belum dikira para pendatang tanpa izin (PATI) yang juga dianggarkan mencecah jumlah jutaan orang.

6. Selain isu rasuah, kebocoran kawalan keselamatan negara dan kelemahan penguatkuasaan, para majikan turut mengambil kesempatan dengan mengoptimumkan penggunaan warganegara luar bagi memaksimumkan keuntungan

7. Mereka menggunakan alasan bahawa warga tempatan malas dan tidak mahu bekerja terutama dalam bidang yang sukar, kotor dan berbahaya (difficult, dirty and dangerous) atau lebih dikenali sebagai sektor 3D.

8. Sebagai contoh, syarikat Top Glove yang juga pengeluar sarung tangan terbesar di dunia melaporkan kekurangan pekerja akibat kawalan kemasukan para pekerja asing oleh kerajaan Malaysia.

Persoalannya, mengapakah kekosongan ini tidak boleh diisi oleh hampir sejuta rakyat tempatan yang tidak memiliki kerja?

9. Pada pandangan saya, tindakan tegas perlu diambil kerajaan bagi mengekang kebanjiran warga asing ke dalam sektor pekerjaan di Malaysia.

Dalam masa sama, pihak majikan perlu memberikan gaji serta skim kebajikan pekerja yang kompetitif bagi menarik minat para pekerja tempatan.
10. Skim latihan dan peningkatan kemahiran juga perlu diperkasakan. InsyaAllah dengan usaha bersepadu pelbagai pihak ini masalah pengangguran di Malaysia akan berjaya diselesaikan.

Ir Muhammad Lukman Al Hakim Muhammad

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button