Berita UtamaUtama

B-22: Keupayaan main di posisi berbeza keutamaan Kim Swee

Menjelang temasya Sukan SEA 2019 di Filipina

SUBANG JAYA, 24 Rabiulawal 1441H, Khamis – Menjelang temasya Sukan SEA 2019 di Filipina, Ketua Jurulatih skuad Bawah 22 Tahun (B-22) Datuk Ong Kim Swee, berhadapan tugas mencabar menyenaraikan barisan 20 pemain terbaik pasukannya.

Sehingga hari ini, seramai 32 pemain berada dalam kem latihan pusat dan Kim Swee hanya mempunyai kurang daripada 24 jam, untuk memilih pemain terbaik bagi membentuk sebuah pasukan yang mempunyai keseimbangan, di setiap posisi.

Namun, fokus Kim Swee kini adalah memberi keutamaan kepada pemain yang mempunyai kelebihan beraksi, di beberapa posisi berbeza.

“Senarai 20 pemain untuk saya namakan agak mencabar. Ia berbeza dengan Kejuaraan AFC, di mana 23 pemain dibenarkan, jadi saya harus lihat dari segi keseimbangan dan kedalaman di beberapa posisi. Saya perlu mengambil pemain yang boleh beraksi dalam dua atau tiga posisi, untuk memberi ruang berehat mengikut jadual di Manila.

“Pemain yang boleh bermain dalam dua posisi merupakan kelebihan dan saya perlu lihat posisi mana yang saya perlu tampung, bagi mendapatkan pemain berlebihan di posisi tersebut,” katanya ketika ditemui selepas tamat sesi latihan di Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di sini, hari ini.

Pada sesi latihan tersebut, skuad B-22 negara mencatat kemenangan 3-0 dan 2-0, masing masing ke atas Northern Territory FC dan Western Australia FC dalam aksi persahabatan.

Sementara itu, mengulas mengenai peluang pemain yang berpangkalan di Amerika Syarikat Wan Kuzain Wan Kamal, beraksi bersama skuad negara, Kim Swee menjelaskan pengesahan tersebut hanya akan diketahui esok.

Menurut Kim Swee, masih terdapat beberapa isu yang perlu diselesaikan sebelum pemain Sporting Kansas City di Liga Bola Sepak Utama Amerika (MLS) itu, layak beraksi bersama pasukannya.

“Masih belum ada keputusan tentang Wan Kuzain, di mana hanya esok saya akan maklumkan tentang situasi beliau. Tetapi beberapa isu lagi perlu kita selesaikan sehingga esok dan saya harap jika semuanya berjalan lancar, kita dapat menyenaraikan beliau. Jika tidak kita terpaksa melupakan Wan Kuzain,” tambah beliau.

Wan Kuzain menyertai kem latihan pusat skuad kendalian Kim Swee pada Isnin lepas. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close