Berita UtamaUtama

Tun M mungkin bubar Parlimen halang Anwar jadi PM

Tak mustahil Anwar dimasukkan dalam penjara, dakwa Lokman Adam

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 23 Rabiulawal 1441H, Rabu – Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam yakin Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan membubarkan Parlimen atau memenjarakan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menghalang proses peralihan kuasa.

Beliau berkata, Dr Mahathir boleh menggunakan undang-undang sedia ada hari ini termasuk Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) untuk meletakkan Anwar di belakang geriji besi supaya proses pemindahan kuasa tidak berlaku.

“Jangan buat perjanjian sama syaitan. Kita dah tahu kalau kita buat perjanjian dengan syaitan walaupun mungkin dia akan tunaikan apa yang kita idamkan iaitu untuk memerintah Malaysia tetapi akhirnya akan memakan diri sendiri,” katanya ketika bual bicara ‘Kerusi Panas’ TV Pertiwi, di sini, malam ini.

Lokman berkata demikian ketika ditanya reaksi parti komponen Pakatan Harapan (PH) sekiranya Dr Mahathir tidak menunaikan janji untuk menjadi perdana menteri sementara.

Mengulas lanjut, beliau tidak menolak kemungkinan Anwar akan memulakan gerakan untuk melakukan undi tidak percaya kepada Dr Mahathir atau mengadap Duli Tuanku untuk menyatakan beliau mempunyai lebih 112 sokongan ahli Parlimen.

“Saya rasa belum sempat Anwar pergi, sama ada Dr Mahathir akan menghadap Tuanku untuk membubar Parlimen atau memenjarakan Anwar,” kata beliau.

Pada masa sama, Lokman hairan apabila ada ahli UMNO seolah-olah memberi ‘oksigen’ kepada Dr Mahathir tatkala Perdana Menteri mengalami tekanan amat dahsyat.

“Di kala kita baru sahaja memenangi PRK Tanjung Piai, Dr Mahathir berada dalam keadaan stress sehingga hidung pun berdarah. Tidak pernah kita lihat beliau begini longlai dan lemah. Kenapa kita nak memberikan oksigen kepada individu yang hampir tamat riwayat parti politiknya.

“Ini yang menyebabkan saya rasa tindakan membawa MP Barisan Nasional kepada Dr Mahathir adalah mengkhianat parti,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close