Berita UtamaUtama

Sultan Selangor syor hukuman berat pelaku jenayah seksual

Sultan Sharafuddin bimbang kes rogol, sumbang mahram paling tinggi

BANGI, 23 Rabiulawal 1441H, Rabu – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan masalah jenayah seksual yang semakin serius dan berleluasa di kalangan masyarakat.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, Sultan Selangor bertitah bahawa, Baginda menzahirkan kerisauan dan berduka cita dengan perkembangan kes-kes sedemikian.

Berikut adalah kenyataan akhbar Sultan Sharafuddin yang ditandatangani Setiausaha Sulit baginda, Datuk Haji Mohamad Munir Bani:

Lanjutan daripada Mesyuarat Lembaga Pengampunan Negeri Selangor Kali Ke 80 tahun 2019, saya telah dititah oleh D.Y.M.M. Sultan Selangor untuk mengeluarkan Kenyataan Rasmi seperti berikut

D.Y.M.M. Sultan Selangor selaku Pengerusi Lembaga Pengampunan Negeri Selangor mendapati bilangan kes-kes yang dibawa kepada Lembaga Pengampunan Negeri Selangor yang melibatkan kes jenayah seksual seperti rogol bawah umur dan sumbang mahram adalah tinggi.

D.Y.M.M. Sultan Selangor menzahirkan rasa kebimbangan Baginda terhadap peningkatan permasalahan jenayah seksual yang semakin serius dan berleluasa dalam masyarakat. Baginda amat risau dan berdukacita dengan perkembangan kes-kes sedemikian kerana ia akan mendatangkan implikasi yang negatif serta mampu meruntuhkan institusi keluarga dan moral masyarakat di Negeri Selangor.

Jenayah seksual yang semakin kritikal ini menyebabkan kesengsaraan kepada mangsa yang terlibat yang sepatutnya dilindungi oleh pelaku. Jenayah seperti ini perlu dibanteras tanpa kompromi kerana ia boleh menyebabkan suasana tidak harmoni di kalangan masyarakat dan mewujudkan kebimbangan serta prasangka buruk terhadap keluarga yang terlibat.

D.Y.M.M. Sultan Selangor memberi peringatan supaya semua rakyat hendaklah menjauhkan diri daripada terlibat dengan jenayah seksual ini dan hendaklah memelihara maruah ahli keluarga dengan baik dan memupuk sikap menghormati kaum wanita serta kanak-kanak.

Semua pihak diseru agar dapat meningkatkan usaha untuk membendung jenayah seksual ini melalui pendidikan, penguatkusaan undang-undang dan menekankan nilai-nilai agama. Mengikut ajaran agama Islam, mereka yang terlibat dalam melakukan jenayah seksual ini adalah berdosa besar.

Oleh itu, Baginda mengesyorkan supaya hukuman yang lebih berat dikenakan terhadap pelaku jenayah seksual untuk memberi peringatan kepada masyarakat supaya menjauhi perbuatan yang keji ini.

Adalah menjadi hasrat dan harapan D.Y.M.M. Sultan Selangor supaya rakyat dapat hidup aman tenteram dan bebas daripada ancaman jenayah seksual dalam negeri Selangor ini.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close