Berita UtamaIstimewaUtama

Kembalikan semula mandat kepada rakyat

Umat Islam perlu kepada taubat nasional, kembali pada ajaran sebenar

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 23 Rabiulawal 1441H, Rabu – Mengembalikan semula mandat rakyat adalah pilihan terbaik untuk menghentikan pertembungan antara dua kem yang berlaku dalam blok kerajaan ketika ini, kata Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman.

Amir Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) itu berkata, senario yang berlaku ketika ini melihatkan keadaan politik negara semakin meruncing, bahkan perang antara dua kem membabitkan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim juga makin agresif.

Katanya, sejak awal lagi beliau sudah menegaskan bahawa pemerintahan sekarang adalah pemerintah yang mungkar dan wajib diubah segera.

“Keadaan mungkar ini akan membawa kita kepada berlaku huru-hara dan ketidakstabilan yang akibatnya akan ditanggung oleh rakyat negara ini.

“Kita tidak mahu negara kita terjerumus kepada krisis dan huru-hara seperti yang telah berlaku di negara-negara Islam seluruh dunia,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas laporan yang mendedahkan senarai nama 101 Ahli Parlimen daripada pelbagai parti, menuntut supaya Dr Mahathir meletakkan jawatan.

The Coverage yang melaporkan perkara itu mendakwa, senarai nama yang didedahkan adalah antara Ahli Parlimen yang mahu menolak Dr Mahathir dan menyatakan sokongan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Konflik dalaman PH dilihat semakin ‘panas’ kebelakangan ini, didakwa isu peralihan kuasa perdana menteri sehingga dikatakan antara punca kekalahan teruk parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Terbaharu, wujud pula isu pertemuan sulit yang diadakan di kediaman Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali di Putrajaya, yang menurut sumber dihadiri bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan sekitar 20 Ahli Parlimen BN.

Difahamkan, pertemuan itu diatur di sebalik khabar angin mengenai cubaan menghalang usaha memaksa Dr Mahathir berundur.

Mengulas lanjut perkara itu, Ustaz Abdullah Zaik berkata, umat Islam perlu kepada ‘taubat nasional’ dan kembali kepada ajaran Islam yang sebenar.

“Itu sahaja yang akan menyelamatkan negara daripada fitnah dan huru-hara. Ahli-Ahli Parlimen Islam yang sedar juga perlu mengambil sikap yang bijak tanpa mengira sentimen politik yang sempit, mencari jalan keluar yang boleh menyelamatkan masa depan negara daripada terjerumus ke lembah kehancuran,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close