Berita UtamaUtama

Sekolah vernakular: Tidak akan ada ahli politik berani suara bila berkuasa

Netizan 'muak' sikap pemerintah tak usaha laksana sekolah satu aliran

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 22 Rabiulawal 1441H, Selasa – Tidak akan ada mana-mana ahli politik yang berani bersuara memansuhkan sekolah vernakular dan mewujudkan sistem pendidikan satu aliran ketika berkuasa.

Demikian luahan hati seorang pengguna media sosial dikenali sebagai Mohd Ihsan yang kesal dengan sikap ahli politik yang gagal berjuang untuk negara dan rakyat, sebaliknya lebih fokus menjaga kuasa serta survival politik masing-masing.

Rata-rata netizen ‘muak’ dengan lakonan politik membabitkan isu sekolah vernakular yang menjadi pertikaian sejak sekian lama.

Walaupun menyokong gesaan sekolah vernakular dimansuhkan, netizen menyifatkan sikap pemerintah yang tidak berusaha merealisasikan sistem pendidikan satu aliran sebagai punca utama kegagalan.

“Apabila orang Melayu bersatu, ianya memberi kelebihan ke atas usul yang dibawa berbanding ia diangkat secara partisan yang menyebabkan ‘pihak sebelah sana’ berani menentang,” tulis Zaffian Omar.

“Kalau bukan sekarang bila lagi? Dah 62 tahun negara merdeka. Kuatkuasakan Perlembagaan dan daulatkan bahasa kebangsaan, termasuk menghapuskan sekolah vernakular,” kata Islah Zainuddin.

Sementara itu, pemilik akaun Nelang Tiu berkata, sekolah perkauman boleh dihapuskan dengan syarat kerajaan diperintah oleh majoriti orang Melayu.

“Isu sekolah satu aliran telah lama dan disuarakan oleh pelbagai lapisan masyarakat, khususnya tokoh pendidikan. Tetapi antara faktor kegagalan utama adalah ketakutan kerajaan sama ada di era BN (Barisan Nasional), tambah lagi kerajaan PH (Pakatan Harapan) hari ini.

“Bahkan, rakan komponen PH iaitu DAP telah ambil tindakan melalui laporan polis yang merasakan mereka berkuasa penuh sekarang ini, berbanding ketika dulu,” tulis AkuHamid Seman.

Mohd Azrul Azuan pula menyindir sikap kebanyakan pejuang vernakular apabila membabitkan kuota untuk kemasukan ke Universiti Teknologi Mara (UiTM), kononnya patut dibuka kepada semua kaum.

“UiTM pakat semua nak masuk, berhujah kata universiti tempat semua kaum. Tapi, bila cerita sekolah satu aliran, macam-macam alasan,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching dilaporkan berkata, DAP – parti yang dominan dalam kerajaan – akan bekerjasama dengan Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan Sekolah Menengah Persendirian Chong Hwa, Kuala Lumpur akan memastikan niat mencabar kedudukan sekolah Cina dan Tamil tidak kesampaian.

“Kami tidak boleh menghalang seseorang untuk (bawa isu) ke mahkamah dan kami tidak leka.

“Jika dia mahu lakukan provokasi, maka kami pasti akan menggunakan sifat paling keras untuk mempertahankan hak belajar bahasa ibunda,” kata Nie Ching seperti dilapor Sinchew Daily.

Kenyataan Nie Ching itu susulan keputusan peguam, Mohd Khairul Azam yang mahu membawa kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi selepas Mahkamah Persekutuan menolak permohonannya untuk mencabar keabsahan sekolah vernakular.

Mohd Khairul berkata, Mahkamah Tinggi mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan isu undang-undang sama ada Seksyen 28 dan Seksyen 17 Akta Pendidikan 1996 bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan atau sebaliknya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close