Berita UtamaUtama

Lebih 900 pembedahan di Hospital Medan Cox’s Bazar

Sebuah makmal diwujudkan bagi atasi masalah bekalan darah

KUALA LUMPUR, 22 Rabiulawal 1441H, Selasa – Lebih 900 pembedahan berisiko tinggi berjaya dilaksanakan di Hospital Medan Malaysia di Cox’s Bazar, Bangladesh sejak hospital itu mula dibina pada 2017.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Lt Jen Datuk Dr Md Amin Muslan berkata, antara kes yang dikendalikan ialah pembedahan terhadap mangsa tembakan serta kelahiran bayi secara pembedahan caesarean.

Menurutnya, walaupun berdepan dengan kesukaran dan pelbagai cabaran, 16 doktor serta 48 anggota lain-lain pangkat daripada Kor Kesihatan Diraja (KKD) yang ditempatkan di hospital berkenaan berjaya melaksanakan tugas dengan baik.

“ATM turut menerima bantuan daripada badan bukan kerajaan (NGO) untuk mengoperasikan hospital ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan Perubatan Ketenteraan Malaysia 2019 di sini, hari ini.

Selain itu, Dr Md Amin berkata, bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan darah di hospital tersebut, pihaknya telah mewujudkan sebuah makmal pada tahun lepas.

“Dulu ada kes yang mana doktor sendiri derma darah bagi memastikan bekalan cukup…ini satu tindakan yang dibuat atas dasar kemanusiaan untuk menyelamatkan nyawa pesakit.

“Hospital mempunyai satu sistem untuk memastikan darah yang diberi telah ditapis serta disaring terlebih dahulu,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Md Amin berkata, Hospital Medan Malaysia diiktiraf oleh pihak luar termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta kerajaan Bangladesh.

“Kerajaan Bangladesh mengalu-alukan kehadiran hospital ini selain ada negara-negara seperti Brunei yang memberi bantuan peralatan untuk digunakan di hospital ini,” katanya.

Semalam, Timbalan Menteri Pertahanan, Senator Liew Chin Tong berkata, Kabinet bercadang untuk melanjutkan operasi Hospital Medan Malaysia di Cox’s Bazar, Bangladesh sehingga selewat-lewatnya Disember 2021, iaitu lanjutan maksimum dua tahun.

Hospital Medan Malaysia di Cox Bazar diwujudkan pada Disember 2017 bagi menampung keperluan mendapatkan rawatan kesihatan kepada ratusan ribu pelarian etnik Rohingya yang melarikan diri ke tenggara Bangladesh ekoran konflik di barat Myanmar.- Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close