Berita UtamaDuniaUtama

Hamas kutuk Israel tembak wartawan sehingga buta

PM Palestin beri sokongan, kejahatan akan didedahkan

GAZA, 22 Rabiulawal 1441H, Selasa – Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan negara tidak diiktiraf Israel yang secara sengaja menyasarkan serangan terhadap wartawan Palestin, untuk menyembunyikan kejahatan mereka.

Jurucakap Hamas, Hazem Qasem dalam satu kenyataan semalam berkata, Tel Aviv sengaja menyasarkan wartawan foto, Moaz Amarneh sehingga menyebabkan sebelah matanya buta.

Moaz kehilangan salah satu matanya setelah seorang askar rejim pengganas Zionis menembaknya ketika sedang membuat liputan pertempuran di antara pemuda tempatan dan tentera Israel di bandar Surif, yang terletak 25 kilometer barat laut al-Khalil pada Jumaat lalu.

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Sindiket Wartawan Palestin (PJS), rejim pengganas Israel melakukan 600 pelanggaran hak terhadap wartawan Palestin antara bulan Oktober 2018 hingga Oktober 2019 di Tebing Barat, Baitulmaqdis, al-Quds dan Semenanjung Gaza.

Laporan itu menambah, tentera Israel turut menembak 60 wartawan dengan ada di antara mereka mengalami kecederaan serius.

“Lebih 170 wartawan dipukul, ditahan atau diharamkan daripada membuat liputan,” kata laporan itu.

Laporan itu juga menyatakan bahawa 10 wartawan ditahan ketika ini, menjadikan jumlah wartawan di dalam penjara Israel meningkat kepada 18 orang.

Dalam pada itu, Hazem menegaskan, wartawan Palestin akan tetap berada di zon konflik dan terus melaksanakan hak mereka untuk menerbitkan laporan adil tanpa mengira jenayah dilakukan rejim Zionis terhadap mereka.

Sementara itu, Perdana Menteri Palestin, Mohammad Shtayyeh menyatakan sokongan terhadap Moaz semasa mesyuarat Kabinet di bandar Tebing Barat dengan menutup mata kirinya.

 “Jika Israel mahu menutup mata Moaz, semua mata kita adalah dia,” kata Mohammad. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close