Berita UtamaDuniaUtama

45 suspek pengganas ditahan

Susulan kejadian pengebom bunuh diri di Balai Polis Medan

JAKARTA, 22 Rabiulawal 1441H, Selasa – Seramai 45 suspek ditahan polis Indonesia susulan insiden pengebom bunuh diri yang disyaki ada kaitan dengan kumpulan pengganas Daesh, Rabu lalu di Medan.

Polis berkata, dua pembuat bom berjaya ditembak mati semasa serbuan dilakukan.

“Kedua-dua individu ini mengganggu tangkapan dan cuba menyerang polis dengan senjata tajam dan pistol,” kata Jurucakap Polis Nasional, Dedi Prasetyo kepada wartawan di Jakarta.

Dedi berkata, mereka membina bom intensiti rendah yang diikat pada badan pengebom bunuh diri yang berusia 24 tahun.

Pihak berkuasa sebelum ini berkata, mereka menyangkakan pengeboman berkenaan adalah serangan tunggal, berikutan letupan yang mencederakan empat pegawai polis dan dua orang awam.

Dedi berkata lagi, serangan di balai polis itu dilakukan sebagai tindakan balas dendam selepas anggota kumpulan militan ditahan oleh pasukan anti-pengganas Densus 88.

Serangan berkenaan yang dilaporkan berlaku jam 8.40 pagi waktu tempatan mengakibatkan sekurang-kurangnya seorang maut dan enam yang lain cedera.

Jurucakap polis, Muhammad Iqbal berkata, penyerang telah melepasi pondok pengawal sebelum memasuki balai polis yang dipenuhi orang awam.

Katanya, penyerang terbunuh di tempat kejadian selepas berjaya meletupkan bahan letupan yang dibawanya. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close