Berita UtamaUtama

Sampai bila nak hadap sekolah vernakular zaman penjajah?

Kementerian Pendidikan kena tegas bentuk sistem sekolah 1 aliran

Oleh Nurul Atikah Mohd Rosli

BANGI, 21 Rabiulawal 1441H, Isnin – Pendidikan negara wajib digabungkan dalam satu sistem pendidikan menggunakan bahasa pengantar yang sama, sebagai platform integrasi dan perpaduan nasional, kata Ketua Eksekutif Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM), Mohd Zai Mustafa.

Beliau berkata, sekolah satu aliran adalah sistem pendidikan terbaik, berbanding sekolah vernakular yang berorentasi dan berkiblatkan negara ibunda.

“Kita bukan nak hapuskan pendidikan vernakular, kita cuma mahu tukar kepada sistem pendidikan kebangsaan yang berteraskan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

“Jadi, pendidikan negara wajib disatukan dalam sistem pendidikan menggunakan satu bahasa pengantar, pengajaran di bawah satu bumbung serta bergaul dalam satu sekolah. Inilah cara untuk mewujudkan pergaulan dan budaya pelbagai kaum.

“Pada masa sama, mereka dapat menghormati agama, budaya dan bahasa masing-masing,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Zai mengakui sekolah vernakular dibina pada zaman penjajah adalah atas dasar memenuhi tanggungjawab pendidikan kepada pendatang asing – India dan Cina -.

Paling jelas, sistem pendidikan ketika itu tidak berobjektifkan perpaduan kepada rakyat dalam negara, ia hanya berkiblatkan negara ibunda mereka (India dan Cina).

Justeru, sudah sampai masanya pihak yang bertanggungjawab bertegas terhadap dasar yang telah dikeluarkan oleh negara.

“Pihak kerajaan dan Kementerian Pendidikan Malaysia wajib bertegas dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan, Akta Pendidikan dan Perlembagaan Persekutuan, termasuk Akta Bahasa,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching dilaporkan berkata, DAP – parti yang dominan dalam kerajaan – akan bekerjasama dengan Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan Sekolah Menengah Persendirian Chong Hwa, Kuala Lumpur akan memastikan niat mencabar kedudukan sekolah Cina dan Tamil tidak kesampaian.

“Kami tidak boleh menghalang seseorang untuk (bawa isu) ke mahkamah dan kami tidak leka.

Jika dia mahu lakukan provokasi, maka kami pasti akan menggunakan sifat paling keras untuk mempertahankan hak belajar bahasa ibunda,” kata Nie Ching seperti dilapor Sinchew Daily.

Kenyataan Nie Ching itu susulan keputusan peguam, Mohd Khairul Azam yang mahu membawa kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi selepas Mahkamah Persekutuan menolak permohonannya untuk mencabar keabsahan sekolah vernakular.

Azam berkata, Mahkamah Tinggi mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan isu undang-undang sama ada Seksyen 28 dan Seksyen 17 Akta Pendidikan 1996 bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan atau sebaliknya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close