Berita UtamaUtama

Polis tubuh pasukan khas siasat kematian Teoh Beng Hock

Saksi awam rakam percakapan akan dipanggil pada masa terdekat

SHAH ALAM, 21 Rabiulawal 1441H, Isnin – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menubuhkan pasukan siasatan khas membabitkan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen Selangor dan Bukit Aman bagi menyiasat kes kematian Teoh Beng Hock.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, ia susulan arahan Peguam Negara pada 16 Julai lepas supaya kes mati mengejut itu disiasat semula di bawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan (Kurungan Salah).

Beliau berkata, setakat ini, lima individu yang juga saksi kes telah dirakam percakapan mereka, antaranya Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah dan peguam M. Manoharan.

“Polis juga akan memanggil Tricia Yeoh (kolumnis akhbar) kerana membangkitkan isu berkaitan, menerusi penulisan artikelnya bertajuk ‘Seeking Fresh Leads To Teoh Beng Hock’s Death’ dalam akhbar News Straits Times pada 17 Julai lepas bagi membantu siasatan.

“Beberapa saksi awam juga akan dipanggil dalam masa terdekat bagi dirakam percakapan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Noor Azam berkata, siasatan dijalankan selepas Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa kematian Teoh disebabkan satu kesalahan jenayah, yang mana punca mendiang jatuh daripada bangunan disebabkan tindakan menyalahi undang-undang.

“Mahkamah itu juga memutuskan bahawa punca kejadian didorong oleh seorang atau beberapa individu yang tidak dikenali termasuk pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selain mendiang ditahan secara konstruktif,” katanya.

Beliau berkata, kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara untuk arahan lanjut dari semasa ke semasa.

Teoh ditemui mati pada 16 Julai 2009 di tingkat lima bangunan Plaza Masalam di sini, selepas memberi keterangan di pejabat SPRM di tingkat 14 bangunan sama.

Mendiang adalah setiausaha politik kepada Yong yang ketika itu adalah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru Selangor. -Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close