Berita UtamaUtama

Minum arak di tempat awam undang lebih banyak masalah

Bebas minum arak secara terbuka jelas 'curang' kepada agama Islam

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 21 Rabiulawal 1441H, Isnin – Tiada peraturan atau larangan untuk meminum arak di tempat awam, seperti di Selangor hanya akan mengundang lebih banyak masalah, kata Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Beliau berkata, mana-mana kerajaan negeri perlu tegas berkaitan undang-undang yang membabitkan arak, kerana ia bukan hanya tidak sensitif kepada agama Islam, bahkan menjadi ancaman keselamatan nyawa orang ramai.

Katanya, kebanyakan negara maju seperti Britain sangat memandang serius penguatkuasaan mengenai arak, bukan hanya kepada individu yang minum, malah terhadap penjual.

“Walaupun negara mereka bebas minum arak, tetapi negara-negara berkenaan mengenakan peraturan sehingga si peminum akan mengawal diri kerana takut dikenakan tindakan berat.

“Tetapi, di negara kita yang pemikirannya belum maju, ambil pendekatan membebaskan arak diminum secara terbuka yang jelas ‘curang’ kepada agama Islam,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Shahidan berpandangan bahawa isu tiada larangan minum arak di kawasan awam sepatutnya perlu dibabitkan dengan Raja-Raja, kerana katanya, walaupun agama lain dibenarkan diamal di negara ini, ia bukanlah bermakna turut menerima perbuatan meminum arak secara terbuka.

“Isu arak ini bukan lagi hanya babit agama, tetapi juga ancaman kepada keselamatan orang ramai, terutama mereka yang tidak meminumnya.

“Banyak kemalangan yang berlaku, dan yang menjadi mangsa serta teraniaya adalah mereka yang tidak minum arak. Sebagai pembangkang dan Ahli Parlimen, sudah pasti kita menolak serta protes dengan keputusan kerajaan Selangor ini,” katanya.

Sebelum ini, Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru negeri Selangor, Ng Sze Han memaklumkan tiada peraturan melarang orang ramai minum arak di tempat awam.

Beliau menegaskan, peraturan itu sukar dilaksanakan kecuali terdapat peruntukan undang-undang khusus berhubung perkara itu di peringkat Persekutuan atau negeri.

Sejak kebelakangan ini, banyak kes kemalangan dilaporkan membabitkan pemandu mabuk sehingga menyebabkan mangsa terkorban dan hilang upaya kekal.

Jun lalu, Roslinda Mohamad Isa, 44, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kepala Batas selepas gerai nasi lemak dirempuh sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki yang dipercayai memandu dalam keadaan mabuk.

Sebulan kemudian, satu lagi kes sama membabitkan seorang pekerja kontrak yang maut dilanggar pemandu dipercayai mabuk ketika sedang melakukan kerja kawalan lalu lintas di Persiaran Perdana, Sri Damansara.

Kejadian sama turut meragut nyawa Mohaidin Gani Mohamad, 58, apabila motosikalnya dirempuh oleh kereta seorang wanita warga China berhampiran lampu isyarat simpang empat Jalan Dato Keramat.

Sabtu lalu, seorang pegawai bank maut selepas kereta dipandu terbabit kemalangan berhampiran susur keluar Bandar Puteri, Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dipercayai dilanggar pemandu dalam keadaan mabuk.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close