Berita UtamaIstimewaUtama

KSU KPDNHEP buta hati sangkal kemampuan BMF

Muez boleh semak harga jualan setiap produk sebelum, selepas Ogos

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 21 Rabiulawal 1441H, Isnin – Kenyataan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang menyangkal kemampuan kempen Beli Produk Muslim (BMF) dalam menurunkan harga barangan, disifatkan sebagai buta mata hati.

Ketua Prasarana BMF Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Haji Mohd Nor Izzat Haji Mohd Johari menyarankan Datuk Muez Abd Aziz supaya membuat semakan dan membentangkan harga jualan setiap produk muslim dan bukan muslim, sebelum 20 Ogos serta selepas September lalu.

Beliau berkata, sejak Ogos sehingga hari ini, semua produk bukan Islam mempromosikan barangan mereka dengan menurunkan harga barang ‘atas tiket promosi’ seperti yang didakwa KSU kementerian berkenaan.

“Manakala, produk muslim terus kekal, malah beberapa jenama muslim turun harga mereka. Boleh lihat secara fakta, penurunan atau harga promosi yang memakan masa dua bulan dan sehingga kini, harga promosi masih belum henti-henti. Takkan itu pun saya nak ajar?

“Saya tegaskan di sini, bahawa jika sebelum BMF, harga minyak masak 5kg rata-rata adalah RM21 hingga RM23 sebotol. Harga ini tidak pernah diturunkan atau dipromosikan sehingga di bawah RM20,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jumaat lalu, KPDNHEP menolak dakwaan bahawa kempen BMF yang dilancarkan UMMAH sejak April lalu telah dapat mengurangkan harga barang.

Muez dilaporkan berkata, dakwaan berkenaan tidak berasas kerana harga barang dan produk adalah berdasarkan kepada tawaran oleh pengilang, pembekal serta peruncit.

Beliau berkata, kementerian juga tidak bercadang mengubah atau memasukkan BMF dalam kempen Beli Barangan Malaysia yang dijalankan sejak 1984.

“Kalau ada sekalipun (BMF), ia sudah ada dalam Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia. Pihak kami sedang bekerja keras untuk mempromosikan kempen Beli Barangan Buatan Malaysia,” katanya.

Mengulas lanjut perkara itu, Mohd Nor Izzat berkata, Kempen Beli Produk Malaysia yang didakwa giat dipromosikan kerajaan ketika ini, adalah salah satu elemen BMF yang sedang berjalan.

Beliau berkata, kempen itu adalah jalan terakhir untuk umat Islam memilih, dan sebagai muslim Muez wajib mendahulukan produk orang Islam, seteruskan produk lain yang disahkan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Apa pun KSU KPDNHEP sebut atau nafikan, BMF tetap akan berjalan malah 11 pasaraya 100 peratus muslim yang diberi nama Malakat Mall serta 10,000 kiosk UMMAH akan direalisasikan dalam masa dua tahun ini, semata-mata untuk memasarkan lebih 5,000 produk 100 peratus muslim.

“Ini fakta, kerana kita cakap kita buat. Kepada pejuang BMF, teruskan istiqamah dan inilah yang dikatakan penanda aras bahawa BMF sudah menggugat KPDNHEP dan puak bukan Islam terpaksa menyuruh KSU KPDNHEP mengeluarkan kenyataan, walaupun KSU sedar beliau adalah orang Islam dan wajib utamakan produk muslim,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close