Berita UtamaPendapatPRK Tg. PiaiUtama

850 butir mutiara Tg Piai

Setiap undi untuk Berjasa bawa kegembiraan

ANGKA 850 pengundi ini adalah satu anugerah tidak ternilai buat penduduk Tanjung Piai. Parti Berjasa mempunyai masa hanya 14 hari sahaja untuk berkempen dan memperkenalkan calon, agenda dan prinsip perjuangannya kepada para pengundi di kawasan Parlimen ini.

Satu tugas yang menggunung dan mencabar, dalam segala keterbatasan dan kekurangan. Bagi sesetengah parti politik, ini mungkin satu “political and management nightmare” sekiranya skala pengurusan yang besar ini tidak dapat ditangani dan dikawalselia dengan baik.

Pujian harus diberikan kepada pihak pimpinan parti, pengurusan kempen dan logistik serta ahli-ahli, penyokong dan para sukarelawan. Adakah Berjasa satu-satunya pemenang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai yang baru saja berlalu?

Pepatah mengatakan, “tepuk sebelah tangan tak akan berbunyi”. Begitulah yang berlaku pada kerja keras dan usaha yang tidak mengenal penat lelah atau jemu. Semuanya berbaloi.

Pujian dan penghargaan yang tinggi perlu juga diucapkan kepada 850 orang pengundi Tanjung Piai yang telah memangkah calon Nombor 5. Tuan-tuan dan puan-puan semua telah melakukan suatu tindakan yang di luar kebiasaan dan luar kotak pemikiran politik semasa.

Anda telah membuka hati dan fikiran kepada kedatangan para pemuda-pemudi ahli atau sukarelawan Berjasa yang bertandang ke rumah anda semua sambil mengukir senyuman manis.

Tidak ada janji yang ditawarkan, projek yang dijanjikan atau harta benda material yang ditayangkan di hadapan anda semua. Mereka yang datang menziarahi anda hanya membawa keikhlasan, kejujuran, keyakinan dan satu seruan sahaja.

Dan tuan-tuan puan-puan semua sudi mendengar apa yang mereka ingin sampaikan sambil meraikan mereka dengan tenang dan ramah mesra. Kebahagian apakah yang boleh digambarkan terhadap para penduduk Tanjung Piai yang halus budi bahasa dan mulia layanannya terhadap para tetamu yang baru dikenali?

Saya berani berkata, bahawa setiap undi dari tuan-puan untuk memilih calon Berjasa, Tok Badh telah membawa kebahagiaan dan juga kebanggaan di hati-hati mereka.

Mengapa saya berkata demikian?

Kerana Berjasa masuk bertanding di Tanjung Piai dalam keadaan berhadapan dengan semua parti politik yang sudah lama bertapak, dengan pembangkang dan juga pihak kerajaan, dengan ketaksuban ahli-ahli parti dan kejahilan atau ketidakpedulian bangsa dan ummat, dengan jentera, dengan berbagai-bagai tuduhan, perlecehan, cemuhan, kritikan, kesangsian, syak wasangka, dengan dana dan balatentera yang bukan sedikit dan dengan segala perkiraan dan faktor yang tidak memihak kepada Berjasa sedikitpun.

Akan tetapi, di sebalik itu anda telah mengambil langkah dan keputusan yang diberkati, iaitu dengan tidak mempedulikan semua situasi di atas lalu memangkah nama Tok Badh pda kertas undi.

Mengapa tuan-tuan puan-puan semua melakukannya?

Apakah yang ada pada Berjasa yang tidak dimiliki oleh parti-parti lain? Apakah keistimewaan pada “parti nyamuk” dan “pemecah belah” seperti Berjasa? Tidakkah tuan-tuan dan puan-puan semua merasa rugi memangkah Tok Badh? Tolong khabarkan dan ceritakan kepada Berjasa, saya mohon.

Apapun kalimat atau kenyataan yang akan keluar dari tuan-tuan dan puan-puan, saya ingin berkongsi pandangan saya di sini:

Tuan-tuan dan puan-puan sedang melakarkan permulaan bagi satu sejarah yang akan dikenang dan dibanggakan oleh zuriat anda, bangsa Melayu, umat Islam dan rakyat Malaysia seluruhnya.

Anda semua telah menyambut seruan dan agenda Berjasa di saat masyarakat umum tidak memberi sedikit keyakinan. Anda semua secara sedar dan insaf telah memilih untuk mengutamakan kemaslahatan bangsa dan umat mengatasi sifir politik tradisi yang telah gagal. Anda semua telah dengan beraninya mengatakan tidak kepada dominasi bukan-Islam di dewan Parlimen.

Anda semua telah membebaskan diri dari kekangan dan belenggu politik kepentingan tidak bermaruah dan tidak berprinsip. Anda semua telah berjaya melakukan satu anjakan paradigma (kebiasaan atau kelaziman) sebagai contoh kepada seluruh bangsa Melayu dan umat Islam.

Tuan-tuan dan puan-puan semua memang berani! InsyaAllah keberanian inilah yang diharapkan dapat mencambahkan 850 butir-butir mutiara terbilang ini ke seluruh negara bagaikan gugusan bintang-bintang bercahaya yang melimpahkan sinaran dan cahaya ke atas hati, fikiran dan perasaan yang telah terbelenggu sejak sekian lama.

Semoga jumlah 850 orang para pengundi Tanjung Piai ini akan bertambah berlipat kali ganda dan melangkah bersama-sama Berjasa di masa-masa mendatang. Dia yang menyahut cabaran, dialah yang akan menang di akhirnya!

Mohd Lutfi Abdul Khalid

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close