Berita Utama

ISMA mohon istana campur tangan perkasa undang-undang syariah

Kini undang-undang syariah seperti dibuli dan tiada kuasa apa-apa

BANGI, 23 Rejab 1443H, Jumaat – Gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) berharap agar pihak istana – selaku ketua agama Islam – campur tangan supaya undang-undang syariah dapat diperkasakan.

Ini selepas Mahkamah Persekutuan pada Isnin memutuskan bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor tidak mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang yang memberi kuasa kepada Mahkamah Tinggi Syariah negeri, bagi mendengar semakan kehakiman berhubung keputusan dikeluarkan pihak berkuasa agama negeri.

Berikutan itu, panel sembilan Hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara mengisytiharkan Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 adalah tidak berperlembagaan, terbatal dan tidak sah.

Seksyen itu memberikan kuasa kepada Mahkamah Tinggi Syariah untuk menggunakan bidang kuasanya bagi mendengar dan membenarkan permohonan semakan kehakiman terhadap keputusan dibuat majlis atau jawatankuasa dalam menjalankan tugas di bawah enakmen itu.

Perkara itu diputuskan mahkamah selepas membenarkan permohonan Sisters In Islam (SIS) Forum (Malaysia), selaku pempetisyen untuk menentukan persoalan undang-undang bagi mencabar keperlembagaan enakmen berkenaan.

Meskipun akur dengan keputusan mahkamah, Presiden ISMA, Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni berkata, pihaknya mengakui terkilan dengan perkara berkenaan.

Katanya, keputusan itu secara langsung memberi maksud bahawa Mahkamah Tinggi Syariah tidak mempunyai kuasa membenarkan pihak berkuasa agama negeri untuk menjalankan tugas melaksanakan undang-undang syariah negeri serta jawatankuasa fatwa negeri-negeri.

“Perkara ini memberikan ‘loophole’ kepada undang-undang syariah dan dikhuatiri bakal memberikan indikasi kepada undang-undang syariah yang lain.

“Perkembangan ini mendatangkan kegusaran dalam kalangan umat Islam yang melihat kesan kepada kuasa pihak berkuasa agama negeri semakin terhakis dan menyekat lagi bidang kuasa syariah,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, umat Islam harus sedar perkara ini menjadi tanda yang undang-undang syariah seperti dibuli dan tiada kuasa apa-apa, sedangkan orang Islam adalah majoriti di negara ini dan Islam adalah agama Persekutuan.

Katanya, ISMA turut menyeru kepada ahli politik muslim agar lebih cakna tentang apa yang sedang terjadi ke atas undang-undang syariah hari ini.

“Jangan terlalu sibuk mengejar laba sehingga terlupa dengan ikrar untuk meletakkan Islam di tempat yang paling tinggi,” katanya yang turut menentang sebarang campur tangan daripada pihak-pihak liberal yang cuba menunggang isu ini demi kepentingan tertentu.

Pautan terdahulu;

Pinda Perlembagaan, beri kuasa Mahkamah Syariah buat semakan kehakiman

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button