Berita UtamaUtama

BN menang isyarat rakyat muak dengan PH

Petunjuk jelas masyarakat Cina menyokong calon dari kaum mereka

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 20 Rabiulawal 1441H, Ahad – Kegagalan Pakatan Harapan (PH) mengekalkan kerusi Parlimen Tanjung Piai merupakan isyarat bahawa rakyat sudah muak dengan pentadbiran sekarang.

Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Barisan Jemaah Islamiah Se Malaysia (Berjasa), Asral Widad Ahmad Asnawi berkata, kekalahan itu juga merupakan mesej besar kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya lebih berhati-hati.

Bahkan, kata beliau, kemenangan Barisan Nasional (BN) melalui Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng dengan majoriti 15,086 undi juga menunjukkan masyarakat Cina akan tetap mengundi calon dari kaum mereka.

“Kekalahan itu juga mesej besar kepada penduduk Melayu supaya sedar sebelum negara kita diperkotak-katikkan oleh orang lain,” katanya ketika ditemui pemberita, semalam.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai menyaksikam BN memperoleh 25,466 undi daripada 128 peti undi.

Calon BN, Jeck Seng menewaskan pencabar utama dari PH, Karmaine Sardini yang memperoleh 10,380 undi serta empat pencabar lain.

Dalam perkembangan lain, meskipun tewas Asral Widad menyifatkan, Berjasa sudah menang dari sudut ‘visibility’ atau pembabitan dalam pilihan raya berkenaan.

Beliau menegaskan bahawa Berjasa akan kekal dengan prinsip untuk mengembalikan dominasi orang Islam ke Parlimen.

“Kami tetap akan meneruskan perjuangan serta memberi signal bahawa tempat-tempat majoriti orang Islam perlu hantar orang Melayu.

“MCA dan MIC pergilah hantar ke kawasan bukan Islam dan berlawanlah dengan DAP. Di tempat majoriti orang Islam, harus orang Islam yang dihantar menjadi wakil rakyat,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close