Berita UtamaDuniaPalestinUtama

Zionis ingkar gencatan senjata

Lancarkan serangan udara terbaharu ke Gaza

GAZA, 19 Rabiulawal 1441H, Sabtu – Israel bertindak melancarkan serangan terbaharu di kawasan Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) di Gaza, semalam.

Rejim Zionis memberi alasan serangan berkenaan kononnya dilancarkan sebagai tindak balas terhadap serangan roket yang dilepaskan ke atas mereka.

Angkatan Pertahanan Israel (IDF) mendakwa, serangan itu dilakukan selepas termeterai gencatan senjata yang dipersetujui dengan pejuang Hamas pada Khamis lalu.

Wartawan portal berita al Jazeera yang berada di Gaza melaporkan, gencatan senjata itu terbatal setelah rejim Zionis bertindak melancarkan serangan udara ke atas pejuang Hamas.

“Ini adalah bukti bahawa cadangan gencatan senjata ini hanya melemahkan,” katanya.

Selain itu, Kementerian Kesihatan Gaza berkata, sekurang-kurangnya 34 penduduk Palestin terkorban termasuk lapan kanak-kanak dan tiga wanita ketika protes anti-pendudukan yang diadakan setiap minggu berhampiran pagar pemisah antara Gaza dengan wilayah yang diduduki.

Jurucakap pejuang Hamas, Musab al-Braim berkata, pihaknya telah membuat satu perjanjian dengan Israel.

“Perjanjian itu termasuk menghentikan pembunuhan, terutamanya ke atas penduduk Palestin pada demonstrasi The Great March of Return dan menghentikan pengepungan di Palestin,” katanya.

Protes mingguan – The Great March of Return – adalah protes yang dilancarkan pada 30 Mac tahun lalu oleh ribuan rakyat Palestin di Gaza kerana menderita akibat pengepungan Israel selama sedekad.

Sejak bermulanya protes itu, sekurang-kurangnya 313 rakyat Palestin terbunuh, manakala 18,000 yang lain cedera.

Israel juga telah melancarkan tiga serangan besar ke atas wilayah dikepung itu sejak 2008 dan membunuh ribuan rakyat Gaza termasuk menghancurkan banyak infrastrukturnya.- Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close