Berita UtamaUtama

Sifir politik kemenangan bagi Berjasa di Tanjung Piai

Teguh dengan prinsip walaupun pendekatan tidak popular

JIKA kemenangan dalam pilihan raya dinisbahkan dengan sekadar undi majoriti, sudah banyak pihak dan parti yang sebenarnya telah memenangi pilihan raya ini sejak diadakan puluhan tahun dahulu.

Tetapi persoalannya adakah pilihan raya itu sekadar untuk mendapatkan undi majoriti? Jika begitu, amatlah rendah objektifnya.

Berjasa melihat penglibatan dalam pilihan raya adalah salah satu daripada cabang-cabang dakwah dan islah dalam medan politik Malaysia.

Sifir politik “Undilah Calon Muslim Berwibawa” adalah sifir politik baru dalam landskap politik Malaysia. Selama ini, masyarakat muslim di Malaysia terikat dengan politik binari kepartian. Tidak Pakatan Harapan (dengan pelbagai versi nama), Barisan Nasional. Orang Melayu muslim terperangkap dalam pilihan hitam putih sedemikian sejak puluhan tahun lamanya.

Berjasa membawakan sifir politik baru sejak PRU 14 yang lalu, dengan harapan untuk memecahkan ketaksuban politik kepartian orang Melayu, dan menyatupadukan kembali politik orang Melayu tanpa mengira warna parti. Seruan ini semakin lama semakin didengari, walaupun ianya adalah seruan yang baru.

Penglibatan dalam PRK Tg Piai ini adalah bagi menunjukkan kepada orang Melayu muslim bahawa, Berjasa adalah parti yang berpegang pada prinsip yang diimani walaupun pada hakikatnya membuat pendekatan paling tidak popular di kalangan parti-parti komponen.

Ada pihak mengatakan Berjasa hanya mahu kuasa atau mengikut telunjuk parti-parti komponen yang ada. Mereka sebenarnya tidak faham, bagaimana sifir politik baru ini diterjemahkan ke dalam medium operasi.

Sifir politik ini beroperasi dalam kerangka yang lebih luas daripada politik kepartian yang terikat dalam kerangka demokrasi humanism. Sifir ini adalah langkah-langkah awal sebelum umat Melayu Islam di Malaysia mampu bersatu atas dasar yang lebih luas iaitu akidah.

Sifir ini juga adalah sifir yang akan membina kerangka politik Islam yang baru. Sifir ini tidak dibina atas pendekatan tempelan sebaliknya pendekatan yang akan mengubah perkara-perkara struktural dalam hal politik.

Perjuangan ini baru sahaja bermula. Berjasa akan terus kekal dengan prinsipnya untuk membina dan mengislahkan sistem politik di Malaysia.

Semoga akhirnya umat Melayu muslim akan celik, dan berjaya mengemudi bahtera politik mereka sendiri. Selari dengan objektif paling utama berpolitik adalah untuk menegakkan agama Allah di atas muka bumi ini.

Asyraf Farique
Ketua Editor Fokus

Penafian: Artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak ada kaitan dengan Ismaweb.net atau Media Isma Sdn Bhd.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close