Berita UtamaUtama

PRK Tg Piai: Peratusan keluar mengundi 74.5 peratus

Peratusan itu kedua tinggi selepas PRK DUN Rantau

PONTIAN, 19 Rabiulawal 1441H, Sabtu – Peratusan keluar mengundi keseluruhan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai adalah 74.5 peratus, melepasi sasaran 70 peratus yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) .

Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, peratusan itu adalah yang kedua ketinggi selepas PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang mencatatkan peratusan keluar mengundi 79.31 peratus.

“Saya rasa itu adalah pencapaian yang baik dan saya ucapkan tahniah kepada pihak sekretariat kerana berjaya melangkaui sasaran peratusan keluar mengundi.

Tahniah juga kepada media yang telah membantu kita mengajak (menguar-uarkan) pengundi untuk keluar mengundi,” katanya ketika berlintas langsung bersama Bernama TV mengenai proses pengundian PRK itu di pusat penjumlahan undi Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini, malam ini.

Azhar berkata, proses pengundian juga berjalan tanpa ada insiden-insiden yang serius, walaupun terdapat pergeseran antara penyokong parti politik di sesetengah tempat.

“Alhamdulillah, tidak ada insiden-insiden serius berlaku. Malah tadi dalam perjalanan saya ke sini (Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim), saya nampak ada penyokong Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) berjabat tangan bermaafan sesama sendiri.

Jadi saya rasa agak bangga dengan semangat yang ditunjukkan walaupun terdapat sedikit pergeseran di sana sini tapi pada amnya (keseluruhan) ia baik,” kata beliau.

PRK Tanjung Piai menyaksikan pertembungan enam penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan, Karmaine Sardini, calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, calon Gerakan Wendy Subramaniam, calon Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz serta dua calon Bebas iaitu Faridah Aryani Abd Ghaffar dan Dr Ang Chuan Lock.

PRK Tanjung Piai diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, daripada PH pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung.- Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close