Berita UtamaUtama

Mahkamah tolak permohonan Najib tangguh perbicaraan

Hakim Mahkamah Tinggi perintah kes diteruskan seperti sebelum ini

KUALA LUMPUR, 18 Rabiulawal 1441H, Jumaat – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini, gagal dalam permohonannya untuk menangguhkan perbicaraan untuk membela diri dalam kes SRC International Sdn Bhd yang dijadual bermula pada 3 Disember.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali menolak permohonan itu dan memerintahkan perbicaraan diteruskan seperti ditetapkan sebelum ini.

Hakim sebelum ini, menetapkan 3 hingga 4 Disember, 9 hingga 12 Disember, dan 16 hingga 19 Disember untuk Najib membela diri terhadap tujuh pertuduhan menggelapkan dana SRC berjumlah RM42 juta.

Hakim Mohd Nazlan berkata, beliau telah mempertimbangkan latarbelakang perbicaraan, permulaan dan kemajuan, tarikh penting dan arahan utama yang diberikan terlebih dahulu.

“Saya mendapati bahawa notis dan masa yang lebih daripada mencukupi telah diberikan kepada pemohon (Najib) untuk menyediakan dan merangka semula persiapan yang berkaitan. Permintaan untuk penangguhan mengikut pandangan saya tidak dapat dibenarkan. Oleh yang demikian, saya menolak permohonan dan perbicaraan akan disambung semula pada 3 Disember, ” katanya.

Pasukan pembela, memohon penangguhan secara lisan kerana mereka memerlukan lebih banyak masa untuk menyediakan pembelaan diri bagi Najib.

Terdahulu, mahkamah juga mendengar penghujahan oleh kedua-dua pihak mengenai permohonan pihak pembela untuk memohon senarai saksi dari pihak pendakwa.

Ini adalah saksi-saksi yang pihak pendakwaan tidak menawarkan kepada pihak pembela tetapi kenyataan mereka telah dirakamkan.

Mengenai permohonan ini, Hakim, Mohd Nazlan menyifatkannya sebagai “pengumpulan maklumat” apabila kenyataan yang diambil oleh pegawai penyiasat di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah dilindungi dan tidak tertakluk kepada pendedahan untuk pemeriksaan di mana-mana peringkat perbicaraan.

“Saya mendapati bahawa ujian keinginan dan keperluan, berhubung saksi-saksi yang telahpun ditawarkan kepada pihak pembela tidak dipenuhi kerana pemohon tidak mengenal pasti kenyataan saksi mana yang diperlukannya dan apakah peranan saksi-saksi dan kerelevanan keterangan itu.

“Dengan itu , saya menolak permohonan.

Terdahulu, Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas berhujah bahawa mengikut Kaedah-Kaedah Profesion Undang-Undang (Amalan dan Etika) 1978, peguam tidak boleh mengambil kes jika mereka tidak mempunyai masa.

“Terdapat 4,000 hingga 5,000 peguam di negara ini. Jika pihak pembela memilih barisan peguambela yang sama, mereka mesti bersedia untuk berbuat demikian. Oleh itu, atas sebab-sebab itu Yang Arif, saya membantah penangguhan itu dan perbicaraan harus disambung semula pada 3 Dis,” katanya.

Peguam kanan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengetuai barisan peguambela untuk semua kes yang dihadapi Najib, manakala Harvinderjit Singh adalah peguam bersama.

Harvinderjit berhujah bahawa mereka memerlukan lebih banyak masa untuk menyediakan kes pembela kerana sibuk dengan satu lagi kes Najib yang akan dibicarakan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan yang akan bermula Isnin ini.

Pada 11 November, Hakim Mohd Nazlan memerintahkan, Najib membela diri terhadap kesemua tujuh pertuduhan berhubung dana SRC selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Najib.

Najib, 66, yang juga Ahli Parlimen Pekan, mulanya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada 4 Julai 2018, untuk menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) dan salah satu pertuduhan salahguna kuasa berkaitan dana SRC berjumlah RM42 juta.

Pada 8 Ogos, bekas perdana menteri itu seali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah wang yang sama. Kes itu kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Najib didakwa melakukan kesemua kesalahan itu antara 17 Ogos 2011 dan 2 Mac 2015.- Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close