Berita UtamaKata PedangUtama

Angkat pemimpin boleh gegar Parlimen perjuang Melayu, Islam

Pemimpin cauvinis dah robek hati Melayu Islam masih nak berlagak

MARAH, terguris dan kecewa! Mungkin itu perasaan yang dirasai majoriti masyarakat Melayu dengan situasi semasa yang semakin hari dirobek perasaan mereka oleh pemimpin-pemimpin yang begitu cauvinis.

Pakatan Harapan (PH) yang kononnyaaa diangkat bagi menjatuhkan kerajaan 63 tahun Barisan Nasional (BN) kelihatan masih lemah, lebih malang didominasi pula oleh parti yang sememangnya anti-Islam.

Padahal, bukan mereka tidak tahu bagaimana ‘swing’ undi Melayu memainkan peranan penting dalam kemenangan PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Perit sebenarnya untuk ditelan apabila boleh dikatakan saban hari ada sahaja cerita mengenai usaha memperlekehkan agama Islam dan orang Melayu.

Terbaharu, pengakuan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang terpaksa berdepan tugas getir dalam mempertahankan Islam dan hak Melayu dari cengkaman parti tamak haloba, DAP.

Selain itu, rasanya sudah berbuih air liur golongan cerdik pandai dan rakyat marhaen menggesa kerajaan supaya memperbaiki keadaan.

Tetapi sayangnya perkara berkenaan berlalu begitu sahaja umpama masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri.

Kerajaan masih dengan pendirian mengutamakan dasar kesamarataan kaum, walaupun Perlembagaan Persekutuan memaktubkan peruntukan keistimewaan kepada orang Melayu.

Justeru, bagaimana orang Melayu boleh menterjemahkan rasa tidak puas hati mereka dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai yang akan berlangsung esok.

Gunakan kuasa undi untuk protes calon PH, dengan harapan tindakan berkenaan memberi kesedaran kepada kerajaan supaya jangan sesekali merendahkan martabat Melayu dan Islam.

Begitu juga calon parti perkauman, MCA belum menang sudah buat hal. Berani pula dia mengaitkan pelaksanaan jawi dengan undi PH. Sekalipun benci Islam dan Melayu, janganlah tunjuk sangat. Inikah calon yang nak bela masa depan Melayu Islam?

Jadi Pedang sarankan supaya memilih calon yang berwibawa, tawaduk dan mampu ‘menggegarkan’ Parlimen dengan agenda Melayu serta Islam.

Kelihatan di sini calon dari parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Prof Datuk Ir Dr Badrulhisham Abd Aziz adalah pilihan yang paling ideal.

Beliau bukan sahaja terpelajar dan berpengalaman malah berkarisma serta merupakan seorang pemimpin yang sentiasa bekerja keras dalam setiap tindakan.

Selamat mengundi, semoga pilihan kali ini mampu memberi isyarat tentang kebangkitan dan kebersamaan suara Melayu yang ketika ini sedang disakiti.

Kata Pedang: Kalau diberi peluang, Pedang nak undi Berjasa. Calon Islam yang diredai Allah dan Rasul.

Penafian: Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang Ismaweb.net, tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close