Berita UtamaUtama

2 wanita didakwa bunuh bayi

Majistret perintah buat ujian penilaian psikiatri

PUTRAJAYA, 18 Rabiulawal 1441H, Jumaat – Seorang pegawai wanita Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan rakan serumahnya hari ini didakwa di Mahkamah Majistret di sini terhadap tuduhan membunuh bayi berusia 23 bulan.

Mengikut kertas pertuduhan, Pegawai Jakim, Nor Aisyah Mohd Yunus, 37 (ibu kepada bayi itu) dan Noor Aisyah Ibrahim, 33, seorang pegawai pendidikan Islam di Kementerian Pendidikan Malaysia didakwa bersama-sama membunuh Muhammad Alfateh Hamdi di sebuah rumah di Jalan P5A/5 Fasa 5R4, Presint 5, Putrajaya, di antara pertengahan bulan September 2019 sehingga 4 November 2019.

Tiada pengakuan diambil daripada kedua-dua wanita itu.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Majistret, Shah Wira Abdul Halim memerintahkan, kedua-dua wanita itu dihantar ke Hospital Bahagia, Ulu Kinta, Perak untuk pemeriksaan pakar.

Terdahulu, peguam, Najib Zakaria yang mewakili Nor Aisyah membuat permohonan untuk merujuk wanita itu ke Hospital Bahagia untuk penilaian psikiatri.

Najib, yang juga menyebut bagi peguam Hamdan Hamzah yang mewakili Noor Aisyah membuat permohonan sama untuk merujuk Noor Aisyah ke hospital untuk penilaian psikiatri.

Najib juga memberitahu mahkamah bahawa, beliau akan memfailkan permohonan jaminan dibawa Seksyen 388 Kanun Keseksaan pada tarikh yang akan datang.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zulaaikha Mohd Apandi.- Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close