Berita UtamaUtama

Tun Mahathir kata kerjasama MCA, UMNO dan PAS hipokrit

'Depan kata pejuang Melayu, bila Tanjung Piai sokong bukan Melayu'

PONTIAN, 17 Rabiulawal 1441H, Khamis – Kerjasama MCA dan PAS, dengan UMNO memainkan peranan sebagai orang tengah, yang dilihat semakin terjalin baru-baru ini adalah tidak ikhlas serta hipokrit dan hanya dilakukan untuk memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, pemimpin pembangkang daripada MCA mahupun PAS sentiasa bertindak lain daripada apa yang dicakapkan terutama dalam isu kerjasama kedua-dua parti.

“Tidak ikhlas. Hipokrit. Di depan (orang Melayu) konon (mereka) pejuang Melayu, bila mai (datang) sini (Tanjung Piai) (sokong) bukan Melayu …kira kepentingan untuk menang pilihan raya,” katanya.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, demikian kepada pemberita selepas menghadiri sesi sarapan pagi bersama-sama badan bukan kerajaan (NGO) Tanjung Piai di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Dalam Negeri yang juga Timbalan Presiden PH Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar Johor merangkap Pengarah Jentera PH bagi PRK Parlimen Tanjung Piai, Datuk Dr Sahruddin Jamal.

Perdana menteri ditanya mengenai kerjasama MCA-PAS melalui orang tengah mereka, UMNO yang dilihat agak pelik kerana sebelum ini MCA dan PAS tiada persefahaman dan tidak bersetuju dalam banyak perkara terutama berkaitan Islam dan Melayu.

Malah, PAS telah menyatakan sokongan kepada MCA untuk bertanding pada PRK Parlimen Tanjung Piai dan turut membantu kempen MCA.

Justeru, Dr Mahathir berkata, rakyat dan pengundi dalam kawasan Parlimen Tanjung Piai seharusnya lebih bijak dengan menilai perjuangan Pakatan Harapan demi keperluan negara.

“Walaupun ada isu orang Cina, ada isu orang Melayu, ada isu orang India, tapi apabila kita tumpu kepada keperluan negara kita, kita ketepikan perkara itu.

“Kita cari jalan untuk selesaikan pertikaian itu kerana kita tahu di Malaysia kita tak boleh layan sama rata semua orang. Apabila kita dapati semua bersatu hati dan menerima kerajaan campuran, negara kita akan maju,” katanya.

Pada PRK ini, calon PH Karmaine Sardini berdepan cabaran calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, calon Gerakan, Wendy Subramaniam, Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa), Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz dan dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Pengundian PRK itu ditetapkan Sabtu ini.- Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close