Berita UtamaUtama

Tiram lubuk rezeki musim tengkujuh

Nelayan tak boleh ke laut kerana berlaku ombak besar

KOTA BHARU, 17 Rabiulawal 1441H, Khamis – Musim tengkujuh di Pantai Timur yang juga sinonim dengan musim banjir sentiasa meresahkan penduduk terutama golongan nelayan yang dikatakan ‘hilang’ punca mencari rezeki di laut.

Golongan nelayan terpaksa berehat mulai November sehingga Mac kerana tempoh itu tidak sesuai untuk turun ke laut kerana ketika monsun Timur Laut akan berlaku ombak besar dan laut bergelora.

Namun, ada rezeki tersembunyi di sebalik fenomena itu bagi nelayan mencari pendapatan sampingan dengan aktiviti mencari tiram di sungai.

Isa Hassan, 63, daripada Kampung Pantai Pulau Kundur, telah menjadikan kegiatan mencari tiram ketika musim tengkujuh sejak 30 tahun lepas bagi menjana pendapatan sampingan untuk keluarga apabila tidak boleh turun ke laut.

“Saya menjalankan kegiatan ini sebagai punca pendapatan sampingan ketika musim tengkujuh bagi menampung perbelanjaan keluarga apatah lagi pendapatan yang diperolehi juga memuaskan hati,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Bapa kepada 18 anak berusia 42 hingga 15 tahun ini berkata, sungai sedalam kira-kira 20 meter di Sungai Che Deris menjadi lokasinya sejak sekian lama bagi mencari tiram yang membiak secara semula jadi di dasar sungai itu.

Katanya, dia akan ke sungai yang terletak kira-kira satu kilometer daripada rumahnya hampir setiap hari di musim tengkujuh mulai 2 petang dan pulang kira-kira 5 petang dengan turut ditemani beberapa orang anaknya.

“Mencari rezeki dengan mengutip tiram ini agak mencabar, bukannya sesuatu yang mudah kerana kami terpaksa menyelam ke dasar sungai tanpa menggunakan tangki oksigen, malah kemahiran untuk mencari lubuk tiram juga penting.

“Saya mampu bertahan sehingga empat minit di dasar sungai untuk mengutip tiram sebelum naik ke permukaan bagi mengambil nafas dan meletakkan tiram ke dalam perahu,” katanya.

Isa berkata, mencari dan mengutip tiram ketika musim ini sangat bersesuaian kerana keadaan air sungai masih masin dan kualiti tiram yang dikutip juga besar dan tebal.

“Bila banjir melanda, kualiti tiram akan terjejas apabila air sungai tawar selain isinya juga akan menjadi nipis sekaligus menjejaskan permintaan pelanggan,”katanya.

Isa berkata, tiram dikupas terlebih dahulu daripada cengkerangnya sebelum dijual kepada pemborong dan pelanggan.

“Mengupas tiram dari cengkerang agak berbahaya dan perlukan kemahiran, dan tidak semua orang boleh membuatnya malah jika tersilap cara ia boleh melukakan jari kerana cengkerangnya sangat tajam.

“Saya boleh mengutip sehingga 20 kilogram tiram pelbagai saiz sehari bergantung kepada keadaan dan dijual kepada pemborong di Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu ataupun pembeli yang datang ke rumah yang dijual pada harga RM10 ringgit sekilogram,” katanya.

Ujarnya lagi, tiram mempunyai permintaan tinggi dalam kalangan penggemar kerana rasanya yang enak apabila dibakar ataupun dimasak bersama mi segera yang cukup terkenal dan mejadi tarikan utama penggemar menu ‘Maggi Tiram’ di sekitar bandar ini.- Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close